“MEMBINA integriti dalam negara perkara amat penting serta perlu mendapat sokongan yang menyeluruh,” kata Felo Penyelidik Utama di Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Zaid Ahmad.
Katanya, bagi meningkatkan integriti, apa yang paling utama adalah untuk membina peradaban.
“Kita cakap tentang kemajuan dan pembangunan tetapi ia lebih besar daripada itu kerana kita sekarang dalam agenda membina sebuah peradaban bangsa.
“Ketika membina peradaban bangsa, datang nilai-nilai yang perlu untuk menjadi sebahagian induk masyarakat peradaban di mana salah satunya ialah nilai integriti,” ujarnya.
Menurut Zaid, jika nilai tersebut tinggi, orang ramai akan berasa selamat kerana ia biasanya jujur, suka membantu, tidak mencurangi serta melakukan kejahatan kepada orang lain.
Beliau berkata, sebuah bangsa yang mempunyai nilai peradaban tinggi akan disukai oleh sesiapa sahaja.
“Kalau kita hidup rasa selamat orang datang pun rasa selamat. Kadar jenayah rendah dan tak ada orang rasa terancam,” katanya.
Mengulas lanjut, Zaid berkata, laungan Kerajaan MADANI pada masa ini adalah melakukan reformasi dan ia sedang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, semua pihak perlu mengurangkan ‘politicking’.
“Hari ini 24 jam orang berpolitik. Mengulas perkara politik ada ketikanya tidak produktif.
“Jadi hanyalah memperolok dan pada saya semua kerja tak ada faedah. Kena tanya apa yang boleh kita sumbang pada negara dan pembinaan masyarakat masa ini dalam ruang lingkup kita sendiri.
“Kalau saya sebagai pensyarah akan buat perubahan dalam kerangka saya begitu juga penjawat awam lain. Sesiapa sahaja bagi saya korporat atau awam mesti dukung gagasan ini,” katanya.
Sementara itu, Zaid berkata, terlalu banyak aspek yang perlu diperbaiki lagi dalam konteks pembanterasan rasuah.
Beliau bagaimanapun mengakui kerajaan berjaya mewujudkan sebuah institusi yang menangani soal rasuah dan ia amatlah penting.
“Kita juga berjaya wujudkan undang-undang tangani rasuah. Untuk melaksanakannya perlu banyak lakukan reformasi. Kena penambahbaikan,” katanya.
Tambahnya, Perdana Menteri beberapa kali membuat kenyataan kerajaan tidak akan mencampuri urusan agensi pencegahan rasuah dan memberi mandat yang sepenuhnya. – WILAYAHKU