Berita

Insiden kepala air di KKB: Wanita China ditemukan lemas, rakan masih hilang

- Diterbit 21 Jun 2023 3:30 PM MYT

SEORANG wanita warga China ditemukan lemas manakala rakannya masih hilang selepas dihanyutkan dalam insiden kepala air ketika mandi di air terjun Kampung Orang Asli Pertak, Kuala Kubu Bharu dekat sini petang tadi.

Fenomena kepala air di kawasan itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat di bahagian hulu sungai yang menyebabkan paras air terjun menjadi tinggi dengan arus deras.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata mayat Xia Yuan Ling, 55, ditemukan tersangkut di celahan batu pada 6.18 petang kira-kira 200 meter dari tempat kedua-dua mangsa dilaporkan hanyut.

“Pihak kami sedang menjalankan operasi mencari rakan mangsa iaitu seorang wanita tempatan bernama Jenny Wong, 52, dengan kaedah pencarian di permukaan,” menurutnya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata mayat Xia dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

Wan Md Razali berkata pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan kedua-dua wanita pada 5.30 petang dan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Operasi mencari seorang lagi mangsa yang hilang akan diteruskan hingga 11 malam ini sebelum ditangguh ke esok pagi,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas