Berita

Insiden KD Pendekar karam: Kesilapan pandu arah, kapal usang

- Diterbit 29 Oktober 2024 11:20 AM MYT

LEMBAGA Siasatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mendapati faktor kesilapan pandu arah dan keusangan kapal menjadi punca insiden Kapal Diraja (KD) Pendekar karam di perairan Tanjung Penyusop, Johor pada 25 Ogos lalu.

Menurut Markas Tentera Laut, ia berdasarkan rekod laluan kapal tersebut yang tersasar daripada laluan dirancang dan terlanggar Terumbu Punggai (Stork Reef).

“Faktor keusangan kapal yang melebihi Dasar Kasting iaitu berusia 45 tahun telah menyukarkan kawalan kebanjiran berikutan kelemahan struktur badan kapal dan mempercepat kebanjiran merebak ke kompartmen-kompartmen lain.

“Usaha menyelamat dan mengapungkan KD Pendekar berjaya diselesaikan pada 15 Oktober lalu oleh sebuah firma tempatan dan kapal itu kini dalam proses pemeriksaan teknikal,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada 25 Ogos lalu, KD Pendekar karam ketika melaksanakan rondaan operasi dan insiden berlaku apabila kapal menghadapi gegaran kuat diikuti kebanjiran besar semasa menghampiri pesisir pantai untuk melakukan pemeriksaan teknikal.

Semua 39 kru kapal berjaya dipindahkan dengan selamat ke kapal dagang MV Ashley tanpa sebarang kecederaan.

Berhubung kematian penyelam TLDM, Laskar Kelas I PLM Arman San Hermansa dalam pelaksanaan operasi salvaj KD Pendekar, siasatan mengesahkan punca kematian adalah akibat lemas.

Markas Tentera Laut memaklumkan, keadaan di kawasan operasi di mana arus yang tidak menentu dan memukul lumpur di dasar laut mengakibatkan jarak penglihatan menjadi sangat terhad iaitu sekitar satu kaki pada hari kejadian.

“Keadaan ini meletakkan seseorang penyelam pada situasi berisiko tinggi dan tekanan kerja yang mencabar.

“Apabila tali keselamatan digunakan oleh penyelam didapati tersangkut pada kapal tersebut, langkah kecemasan dilakukan penyelam ini tidak berhasil seterusnya menyebabkan beliau lemas,” katanya.

Lembaga Siasatan TLDM juga mendapati prosedur operasi standard (SOP) penyelaman dan langkah keselamatan telah dipatuhi sebelum tugasan penyelaman dimulakan.

“Peralatan menyelam yang digunakan disahkan berfungsi dengan baik sebelum dan selepas penyelaman. Penyelam juga disahkan kompeten untuk menjalankan tugas penyelaman tersebut,” katanya.

Markas Tentera Laut menambah, TLDM mengambil serius dapatan kedua-dua insiden yang berlaku.

“Keselamatan anggota dan kesiagaan armada keutamaan TLDM, di samping memastikan semua warga TLDM dapat menjalankan tugas dengan sempurna dan mengikut garis panduan ditetapkan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas