Berita

Ini penyakit kita

- Diterbit 11 Februari 2021 11:05 AM MYT

PELIK tetapi benar. Itulah hakikat kehidupan manusia di atas dunia. Banyak perkara yang dihadapi oleh manusia, sedangkan manusia itu sendiri merasakan ia terlalu asing atau ia tidak ada kaitan hubungan dengan kehidupannya dalam dunia.

Namun, pada masa yang sama ia tetap perlu dihadapi oleh manusia sebagai salah bentuk kelangsungan hidup dan asam garam kehidupan.

Dalam meneliti kehidupan, kesakitan dan penyakit bukan merupakan sesuatu yang asing.

Walaupun ia adalah rencah dalam alam kehidupan manusia, namun kadang kala manusia lupa dan alpa serta tidak melihat penyakit sebagai satu bentuk ujian atau peringatan.

Ada indvidu yang melihat penyakit sebagai satu fitrah kejadian bagi benda hidup, di mana setiap yang hidup pasti akan menghadapi kesakitan.

Umpama sebuah kereta yang dimilik, pada suatu ketika akan ada masalah kerosakkannya sama ada kecil ataupun besar rosak itu. Tetapi ia tetap suatu kerosakan.

Rentetan itu, tidakkah kita tahu bahawa suatu penyakit itu adalah kerana ada penyakit lain? Ini kerana, perlu untuk kita cuba perhatikan bahawa sesuatu penyakit yang datang, kemungkinan kerana ada penyakit lain yang kita hadapi tetapi tidak dirawat sebaiknya sehingga memberikan kesan yang lebih besar kepada penyakit tersebut.

Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia pada hari ini yang telah dihadapi oleh masyarakat sudah mengjangkau lebih daripada setahun.

Bahkan telah meragut nyawa jutaan manusia di seluruh dunia. Statistik terkini pada 29 Januari 2021 di Malaysia sahaja, jumlah kumulatif kes ada 203,933 dan melibatkan kematian seramai 733 (0.4%). Jelas bahawa Covid-19 ada penyakit terkini yang sedang dihadapi oleh masyarakat dunia.

Sehinggakan di Malaysia sendiri, pihak berwajib berusaha keras bagi membendung penularan wabak virus berkenaan. Bukankah dalam hadith Aisyah ada menyebutkan bahawa beliau pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang wabak taun.

Lalu baginda SAW mengatakan bahawa “Taun adalah sejenis seksaan yang Allah kirimkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah menjadikan hal itu sebagai rahmat bagi kaum muslimin. (HR al-Bukhari no.hadith 3215).

Jadi, sepatutnya kita perlu bermuhasabah kembali adakah terdapat sesuatu yang menghalang daripada Allah SWT menghilangkan wabak ini. Kemungkinan adalah “penyakit” lain yang telah dilakukan sehingga pandemik COVID-19 ini masih belum berakhir. Bahkan, pertambahan kes terus meningkat.

Gambarannya, adalah seolah seperti cermin. Di mana ketika melihat cermin itu, sangat penting untuk kita memastikan bagaimana keadaan dan rupa bentuk diri kita, supaya terzahir di dalam cermin itu rupa yang sepatutnya kita kehendaki.

Mana mungkin, kita mahukan agar rupa kita cantik dalam cermin, sedangkan kita tidak mempersiapkan diri untuk memastikan rupa kita cantik.

Demikian, analogi dalam hadith seperti diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Setiap Mukmin adalah cerminan kepada Mukmin yang lain” (HR Abu Dawud, no.hadith 4918). Demikian, juga firman Allah SWT yang bermaksud: “Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu.” (Surah al-Hujurat ayat 10)

Membawa kita kembali kepada apa yang dimaksudkan “melihat penyakit dari kaca penyakit” di sini adalah untuk kita melihat realiti penularan COVID-19 pada hari ini.

Gelombang penyebaran virus ini terus menampakkan perkembangan dan jumlah yang dijangkiti juga meningkat sehingga mendadak. Sehinggakan pihak kerajaan kembali melaksanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) yang telah bermula 14 Januari 2021 yang lalu dan akan berakhir pada 4 Februari 2021 dan dijangkakan jika tidak dilaksanankan kes jangkitan akan meningkat sehingga 8,000 kes pada April 2021.

Terkini pada 29 Januari 2021, kes di Malaysia melonjak kepada 5,725 kes baharu. Apakah tanda disebalik perkara ini perlu untuk kita perhatikan dengan mata hati kita?

Bukan di sini untuk menakutkan para pembaca, tetapi mahu menegaskan persoalan ‘bagaimana penyakit ini kita lihat di sisi kita pada saat ini? Pernahkah kita perhatikan dengan naluri dalaman kita bahawa ada penyakit lain yang belum selesai atau penyakit lain yang kita lakukan tetapi tidak kita sedari kerana mata hati kita telah tertutup untuk melihat dan menilainya.

Atau mungkin kita ditutupi dengan suatu penyakit sehingga kita tidak melihat wabak ini kecuali hanya pandangan zahir semata-mata. Bukankah ia sangat jelas? Tanya diri kita masing-masing, apakah yang telah kita lakukan sehingga wabak ini berterusan.

Berapa ramai lagi nyawa akan hilang dan berapa banyak lagi kes baharu yang akan dijangkit dan merebak?

Oleh itu, marilah sama-sama kita renung kembali dari pihak diri kita sebagai individu dan anggota dalam masyarakat, tidakkah kita sebenarnya antara penyebabnya? Bagaimana hubungan kita dengan pencipta? Kepada siapa kita bergantung pada saat ini? Apakah masih dibuai mimpi dunia, sehingga yang diingati hanya makan mimun dan pakai sahaja?

Tidakkah sebenarnya, pada saat ini, Allah mahu agar kita memanjatkan keampunan dariNya, menyerahkan segala urusan kita kepadaNya, kembali menilai amalan kita dan menilai hubungan kita sesama anggota masyarakat yang lain.

Mungkin kerana penyakit lupa diri, pentingkan hal keduniaan, tidak kembali kepada ketaatanNya, lalai dengan kehidupan dunia atau mungkin masih mengekalkan amalan maksiat dan kejahatan sehingga terhalang dan terhijab doa-doa untuk mengangkat wabak ini.

Dari itu, marilah kita semua bermuhasabah diri, bersegara memohon keampunan Allah dan kembali kepada Allah SWT kerana Dia adalah sebaik-baik penjaga kita. Firman Allah SWT, bermaksud: “Maka Allah adalah sebaik-baik Penjaga dan Dia adalah Maha Penyanyang diantara para penyayang.” (Surah Yusuf, ayat 64).

Bersegerakan kita memperbaiki diri kita masing-masing, sambutlah seruan pemerintah untuk melaksanakan bacaan Yasin dan solat hajat bagi memohon perlindungan dan mengangkat wabak ini daripada negara kita khususnya, dan umumnya seluruh dunia. Kita tidak ada upaya melainkan sangat bergantung kepada Allah SWT yang menurunkan wabak tersebut.

Justeru, dengan melihat COVID-19 ini sebagai kaca mata “penyakit” yang kita sendiri hadapi, dapatlah kita bersegera memohon pertolongan dan kebergantungan kepada Allah SWT.

Sesungguhnya tidak ada sesiapa yang mampu untuk menghapuskannya melainkan dengan izin Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Dia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurnia-Nya. (Surah Yunus ayat 107).

Peringatan untuk diri dan semua. – DR KHADER AHMAD

 

– Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di [email protected] atau +6019-3275451

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas