Berita

Program Sukarelawan Pemerkasaan Komuniti bantu tangani COVID-19

SUBANG - July 23, 2019.
- Diterbit 11 Februari 2021 10:46 AM MYT

PROGRAM Sukarelawan Pemerkasaan Komuniti yang akan  memberi kefahaman mengenai COVID-19 kepada orang ramai adalah platform terbaik bagi membendung penularan virus itu di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata program berkenaan mampu meningkatkan kesedaran masyarakat untuk melindungi diri, keluarga dan komuniti masing-masing dalam usaha memerangi pandemik COVID-19.

“Menerusi program ini, kita akan gerakkan lebih ramai sukarelawan daripada badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu kerajaan memberi kefahaman tentang virus yang kita tidak nampak ini kepada masyarakat.

“Sukarelawan ini juga akan memberi pendidikan, kesedaran dan penerangan kepada masyarakat berhubung tanggungjawab mereka untuk mematuhi segala SOP (prosedur operasi standard) yang telah ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pematuhan SOP  oleh premis perniagaan di pusat beli-belah Pavilion di sini, hari ini.

Mohd Redzuan berkata pematuhan SOP itu diberi penekanan supaya jumlah kes aktif COVID-19 dapat terus dikurangkan, sekali gus akan membolehkan lebih banyak aktiviti ekonomi  beroperasi.

Katanya, buat masa ini, program itu digerakkan sukarelawan sedia ada termasuk anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

“Program ini akan dilancarkan dalam tempoh terdekat oleh Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan kita mahu lebih ramai penyertaan daripada bekas polis dan NGO berdaftar yang mahu membantu kerajaan tanpa melibatkan kewangan yang besar.

“Sasaran kita bukan sahaja kawasan awam seperti pusat beli-belah tetapi juga semua tempat seluruh negara termasuk di kawasan kampung. Kita mahu ketua kampung juga memainkan peranan kerana apabila ada kes (COVID-19) di situ penduduk tahu apa yang perlu dilakukan supaya kes tidak merebak, ” katanya.

Sebelum ini Muhyiddin berkata kerajaan akan melaksanakan satu program bagi memperkasakan komuniti untuk memastikan masyarakat di negara ini terhindar dari wabak itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas