Berita

Ingkar PKP bantutkan usaha sekat penularan Covid-19

DR NOOR HISHAM ABDULLAH
- Diterbit 15 April 2020 11:43 AM MYT

PUTRAJAYA – Tindakan segelintir individu ingkar dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya membantutkan usaha semua pihak dalam menangani penularan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, PKP dapat memberi impak yang positif dalam usaha memutuskan rantaian Covid-18 selain memastikan Kementerian Kesihatan mampu mengawal pandemik itu.

“Kita khuatir ketidakpatuhan kepada PKP boleh membantutkan usaha keras semua pihak yang telah diambil setakat ini.

“Oleh demikian, kita menyambut baik keputusan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar tindakan yang lebih tegas diambil atas ketidakakuran segelintir masyarakat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut pelaksanaan PKP fasa kedua yang berakhir semalam, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya mendapati trend jumlah kes baharu Covid-19 sedikit terkawal tanpa kenaikan yang mendadak termasuk pada pelaksanaan fasa pertama.

“Jumlah kes harian yang dibenarkan keluar dari wad juga meningkat setiap hari. Ini menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan hasil daripada pelaksanaan PKP.

“Tujuan pelaksanaan PKP fasa ketiga adalah untuk meneruskan tindakan kementerian yang sedia ada dan menggiatkan lagi usaha mengurangkan kes positif Covid-19 dengan menggunakan pendekatan bersasar,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas