Berita

“Ayah rindu sangat” – Ashraf Muslim dijangkiti Covid-19

|
- Diterbit 15 April 2020 11:31 AM MYT

“Yer… saya dijangkiti virus Covid-19. Walaupun sebak di dada bila mendapat tahu keputusan pada 12 April tapi saya reda dengan pilihan Allah,” luah pelakon Ashraf Muslim di laman Instagram peribadinya.

Dia merupakan individu ke-9 yang disahkan positif Covid-19 setelah pulang dari penggambaran drama berjudul Demi di Inverness, Scotland, 31 Mac lalu.

Aktor ini percaya ada hikmah di sebaliknya dan mengharapkan agar semua pihak mendoakan yang terbaik buat dirinya dan pesakit Covid-19 yang lain.

“Maafkan saya ahli keluargaku, sahabat-sahabat dan rakan-rakanku, semoga Allah menjauhkan wabak ini dan tidak berterusan lagi,” katanya.

“Kepada isteri-isteri serta anak-anak, Sarah, Adam, Anas dan Safiyyah, doakan ayah sungguh-sungguh supaya kita dapat jumpa ramai-ramai. Ayah rindu sangat. Tapi jangan risau ayah boleh solat dan baca al-Quran macam biasa,” tulis Ashraf yang turut berterima kasih kepada petugas barisan hadapan.

Dalam masa sama, Ashraf turut memuat-naik video ketika menaiki ambulans menuju ke Hospital Sungai Buloh yang menempatkan seorang lagi pelakon drama berkenaan iaitu Puteri Aishah.

Video berdurasi dua minit 21 saat itu mendapat tontonan lebih 135,000 warga net dan menerima 1,522 komen yang mendoakan kesembuhannya. – WILAYAHKU

ASHRAF ketika pengambaran di Scotland baru-baru ini.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas