Berita

Imuniti kelompok: Terus patuhi SOP COVID-19

MENURUT Azizah meskipun imuniti berkelompok di Kuala Lumpur telah mencapai lebih 80 peratus dalam kalangan warga dewasa, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) masih dikekalkan agar ia tidak menjejaskan keseluruhan perancangan kerajaan.
- Diterbit 3 September 2021 3:46 AM MYT

USAHA untuk mencerdaskan sektor ekonomi di ibu kota yang sebelum ini hampir terhenti kini menjadi keutamaan kepada kerajaan agar ia membantu rakyat untuk menjana pendapatan semula. Namun usaha tersebut tidaklah bermaksud kerajaan mengenepikan faktor kesihatan
awam meskipun penularan wabak COVID-19 masih membelenggu kehidupan warga kota.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MKNWPKL) Azizah Mohamed Said berkata, meskipun imuniti berkelompok di Kuala Lumpur telah mencapai lebih 80 peratus dalam kalangan warga dewasa, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) masih dikekalkan agar ia tidak menjejaskan keseluruhan perancangan kerajaan.

“Seperti yang kita sedia maklum, kerajaan telah membuat keputusan untuk memberikan memberikan kelonggaran terhadap pembukaan 11 sektor ekonomi di Kuala Lumpur adalah tertakluk dengan kawalan SOP kesihatan tambahan yang perlu dipatuhi oleh warga kota.

“Contohnya hanya beberapa kedai di bawah sektor peruncitan seperti khidmat gunting rambut asas sahaja dibenarkan, menggalakkan hanya pelanggan yang lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19 dibenarkan untuk dine-in atau makan di restoran dan sebagainya.

“Perkara ini dilihat amat wajar bukan sahaja bermatlamatkan untuk merancakkan semula sektor ekonomi negara, malahan ianya juga merupakan antara fokus utama Kerajaan untuk mengimbangi aspek kelangsungan hidup masyarakat yang terkesan sejak pandemik melanda seluruh dunia dan perkara ini disambut dengan baik oleh semua masyarakat,” katanya kepada Wilayahku pada Rabu. – WILAYAHKU –

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas