Selebriti

Iman Troye perjuangkan karya tradisional

|IMAN Troye bersyukur lagu Nang terus diminati ramai.
- Diterbit 8 November 2021 11:00 PM MYT

KARYA tradisional seolah-olah tenggelam dan kurang mendapat perhatian dalam kalangan anak muda. Apatah lagi banyak pengaruh budaya luar yang mudah menyerap dalam jiwa mereka akibat kemajuan teknologi seperti media sosial.

Sebagai penyanyi muda, Iman Troye mengambil langkah muncul dengan karya berunsurkan tradisional menerusi lagu Nang.

Dengan kerjasama pusat ilmiah PTTI, lagu Nang dilancarkan di sebuah hotel di ibu kota baru-baru ini.
“Saya anggap kehadiran lagu pop Melayu berentak Jawa dan ada sentuhan tradisional ini lebih manis kerana pihak PTTI juga sudi melancarkannya.

“Saya harap selepas ini peminat akan lebih menyokong karya tempatan atau tradisional dan boleh membuatkan video muzik lagu nyanyian yang lain mendapat tontonan satu juta juga tetapi dalam masa kurang sehari seperti penyanyi antarabangsa lain. Jika itu mampu terjadi, saya akan takjub,”katanya yang merakamkan lagu itu sekitar Januari lalu.

Kata Iman atau nama sebenarnya Siti Nur Alyssa Sahabudin,19, bukan sebuah kerja mudah untuk membawa konsep lagu seperti Nang dalam sesebuah hasil karya lagu Melayu pop.

“Apatah lagi untuk berada di kedudukan pertama di senarai sohor kini YouTube.

“Kualiti lagu dan seni muzik video akan sentiasa menjadi kepentingan pertama saya.

“Saya juga rasa amat beruntung untuk berada di sini dan dapat peluang untuk memperjuangkan karya tradisional Malaysia kita. Saya harap semua akan terus menyokong karya hasil artis tempatan kita supaya industri muzik akan terus lebih maju,” katanya.

IMAN Troye bersyukur lagu Nang terus diminati ramai.

Iman Troye juga meluahkan rasa syukurnya apabila Nang juga meraih 1 juta tontonan selepas enam hari video muzik itu dilancarkan.

“Untuk mencipta trek rekod sebegini mendapat 1 juta tontonan dalam tempoh kurang seminggu bagi video muzik tiga lagu nyanyian saya sesuatu pencapaian peribadi yang cukup luar biasa.

“Tambah pula tiga lagu saya masing masing ciptaan Ezra Kong dan lirik A Ramlee dilancarkan di era pandemik COVID-19 yang kita sedia maklum ketentuan pasaran muzik itu sendiri tidak mampu ditebak hala tujunya.
“Saya harus berterima kasih kepada semua yang menjadikan semua ini kenyataan. Terutama peminat serta rakan media yang tidak putus putus memberikan sokongan,” katanya.

Nang terbitan XO House Sdn Bhd dengan kerjasama Universal Music Malaysia dilancarkan 15 Oktober lalu di semua pelantar muzik digital terpilih. Video muzik lagu itu dimuat naik ke YouTube pada 22 Oktober lalu.

Lagu itu juga sohor kini di YouTube dan pernah berada dalam kedudukan top 5 platform muzik berkenaan. Malah menjadi top 10 di Spotify.

Video muzik single ketiga ini membabitkan kos perbelanjaan lebih RM100,000 untuk pembikinannya.
Ia sekali gus menjadi video muzik termahal diterbitkan di bawah syarikat XO House Sdn Bhd. Penggambaran video muzik itu dibuat selama dua hari pada 6 dan 7 Oktober.

Video muzik arahan Lily Samsuddin ini turut menampilkan sisi bakat tari Iman yang dikoreografi Aus daripada Nasty Rock Crews. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas