Berita

Iklan: Utamakan bahasa kebangsaan

PAPAN iklan telah diturunkan kerana tidak menepati syarat pengiklanan dan menjadi kontroversi baru-baru ini. PAPAN iklan telah diturunkan kerana tidak menepati syarat pengiklanan dan menjadi kontroversi baru-baru ini.
- Diterbit 18 September 2020 1:29 PM MYT

BAHASA Melayu sebagai bahasa kebangsaan merupakan bahasa rasmi negara. Bahasa lain boleh digunakan namun dalam apa jua keadaan, penggunaan bahasa kebangsaan adalah mengatasi bahasa-bahasa lain.

Namun sayangnya peranan bahasa kebangsaan ini sering kali diabaikan, baik dalam urusan rasmi atau tidak rasmi.

Surat menyurat misalnya masih banyak yang tidak mengutamakan bahasa kebangsaan, begitu juga pada majlis-majlis atau acara tertentu.

Tidak terkecuali ialah paparan pada papan-papan iklan di sekitar Wilayah Persekutuan, khususnya Kuala Lumpur, yang didapati lebih banyak mengguna dan ‘membesarkan’ bahasa lain sehingga bahasa kebangsaan bagai ‘melukut di tepi gantang’.

Oleh itu Adi memuji ketegasan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa, yang baru-baru ini menegur melalui ciapan Twitternya mengenai sebuah papan iklan billboard berhampiran Mid Valley, Kuala Lumpur yang tidak menghormati dan mengabaikan bahasa kebangsaan.

Beliau menegur pengiklan berkenaan yang lebih mengutamakan bahasa lain sehingga ia ketara begitu prominent. Beliau mahu semua papan iklan di Kuala Lumpur mendaulatkan bahasa
kebangsaan.

Ekoran teguran ini, pihak berkaitan menurunkan sendiri papan iklan berkenaan selepas menyedari kesilapan yang dilakukan.

Mungkin ini hanya satu daripada banyak iklan lain yang sombong tidak mahu menggunakan bahasa kebangsaan.

Diharap ia akan membuka mata agar pihak lain tidak memandang remeh isu bahasa ini sejajar matlamat memperkasakan bahasa kebangsaan.

Kepada yang tidak tahu atau terlupa, Adi ingin mengingatkan, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 jelas memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan perlu digunakan sebagai bahasa rasmi negara.

Takrif bahasa rasmi yang dimaksudkan ialah bahasa yang digunakan dalam tujuan rasmi yang meliputi wacana lisan dan tulisan di peringkat kerajaan Persekutuan, kerajaan-kerajaan negeri,
badan-badan berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Sayangnya, ini tidak dipatuhi sepenuhnya.

Sebenarnya sudah lama isu bahasa pada papan iklan ini menjadi rungutan dan rasa tidak puas hati rakyat. Mereka ‘sakit mata’ menyaksikan papan-papan iklan yang mengangung-agungkan bahasa lain.

Bahasa kebangsaan tidak ada langsung dalam iklan-iklan tertentu, jika ada pun hanya sebagai tempelan.

Sepatutnya, bahasa utama yang mesti digunakan ialah bahasa kebangsaan dan bahasa lain-lain boleh diselitkan sebagai tempelan jika perlu. Tetapi sebaliknya yang berlaku.

Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga telah lama keluh kesah mengenai hal ini.

Malangnya ia hanya boleh bersuara. DBP tidak mempunyai kuasa bertindak atau mendakwa, walaupun kebiasaannya iklan perlu melalui agensi itu bagi mendapatkan pengesahan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan bahasa lain sebagai bahasa sampingan.

“Sebenarnya sudah lama isu bahasa pada papan iklan ini menjadi rungutan dan rasa tidak puas hati rakyat. Mereka ‘sakit mata’ menyaksikan papan-papan iklan yang mengangung-agungkan bahasa lain. 

Tindakan penguatkuasaan hanya boleh diambil oleh pihak berkuasa dan di Kuala Lumpur ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaku pengeluar lesen.

Persoalan yang berlegar di fikiran ramai kini ialah kenapa DBKL meluluskan papan iklan berkenaan jika tahu ia tidak mematuhi syarat yang ditetapkan?

Rupanya ada ‘silap mata’ daripada pemohon lesen. Sewaktu mengemukakan permohonan dinyatakan iklan berkenaan akan menggunakan bahasa kebangsaan.

Tetapi sungguh licik, setelah iklan diluluskan, bahasa yang dipaparkan dalam iklan bukan seperti dijanjikan.

Adi difahamkan, DBKL mengeluarkan enam jenis lesen iklan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Satu daripadanya ialah Lesen Iklan Paparan Luar yang tertakluk di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974, Undang-Undang Kecil Iklan Iklan (WPKL) 1982 dan Undang-Undang Kecil (UUK) Kerajaan Tempatan (Iklan Pilihan Raya) (WPKL) 1990.

Pelanggaran atau tidak patuh kepada Akta atau UUK boleh dikenakan penalti atau tindakan penguatkuasaan yang termaktub dalam akta berkenaan.

Penurunan papan iklan berhampiran Mid Valley adalah contoh pelanggaran Akta.

Adi berharap tindakan seperti ini dibuat secara konsisten dan bukan hanya jika ada aduan atau teguran daripada pihak atasan atau menteri.

Jika didapati mana-mana pengiklan yang ingkar kepada peraturan ditetapkan, segera bertindak.

Oleh itu DBKL mestilah sentiasa proaktif memantau papan-papan iklan yang ada di Kuala Lumpur memandangkan memang ada pengiklan tidak jujur. Belum lulus iklan janji lain, sudah lulus lain jadinya.

Pastikan setelah kelulusan diberi, pemantauan dan follow up di lapangan dilakukan.

Dengan itu mereka yang tidak jujur akan dapat segera dikesan. Iklan mesti diturunkan dan penalti dikenakan. Malah seelok-eloknya bekukan sebarang permohonan lesen iklan baharu kepada pihak yang terlibat ini untuk jangka waktu tertentu.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas