Fokus

“Ia seperti mimpi” – Pemilik Rumah Wilayah Prihatin

ALINDA (dua dari kanan) meluahkan perasaan gembira diberi milikan rumah ALINDA (dua dari kanan) meluahkan perasaan gembira diberi milikan rumah
- Diterbit 27 September 2020 6:15 AM MYT

IBARAT bulan jatuh ke riba! Itu yang dapat digambarkan oleh penyewa di projek perumahan rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang diberi milikan Rumah Wilayah Prihatin.

MOHAMAD ALI

Tiada bait kata yang mampu diucapkan melainkan ucapan syukur yang tidak henti-henti oleh Mohamad Ali Kaman, 57, di atas pemberian yang tidak pernah terduga olehnya itu.

Tujuh tahun menghidap strok di sebelah bahagian badan, bapa kepada tiga orang anak ini mengakui, gara-gara penyakitnya itu, dia tidak lagi mampu mencari rezeki sebagai pemandu teksi seperti sebelumnya.

“Ia merupakan tamparan hebat lebih-lebih lagi saya merupakan tulang belakang keluarga selama ini. Paling menyedihkan apabila anak sulung saya mengambil keputusan untuk tidak melanjutkan pelajaran ke universiti kerana tidak mahu menyusahkan saya.

“Saya terpaksa menerima keputusan tersebut biarpun dalam hati ini terlalu sedih kerana tidak mampu menjadi bapa yang baik. Namun, dalam masa yang sama, saya bersyukur kerana dikurniakan anakanak yang begitu memahami,” ujarnya dengan linangan air mata.

Selain memperoleh bantuan wang tunai daripada pihak Baitulmal, isterinya, Khairul Azizah Mohamed @ Zaini, 54, juga turut menjual kuih-muih di sekitar kawasan perumahan PPR Desa Tun Razak bagi meringankan bebannya.

“Setiap bulan, kos untuk perbelanjaan rumah mencecah RM700 dan kadang-kadang lebih lagi memandangkan saya perlu berulang-alik ke hospital untuk menjalani fisioterapi. Pun begitu, kami bersyukur kerana tidak perlu lagi runsing mencari duit bagi membayar sewa,” ujarnya kepada Wilayahku.

AZLINDA

Sementara itu, menurut Azlinda Mohd Saleh, 50, yang juga merupakan ibu tunggal, beranggapan dirinya merupakan insan yang bertuah apabila ditawarkan untuk memiliki Rumah Wilayah Prihatin baru-baru ini.

“Lapan tahun saya menyewa dengan pendapatan sebagai pembantu di restoran. Malah, saya sudah puas bergelut dengan kesukaran hidup lebih-lebih lagi apabila disahkan mengalami masalah asma yang kronik,” ujarnya.

Katanya, dia terpaksa bergantung harap pada keluarga selain menjadi pengasuh demi kelangsungan hidup di ibu kota.

“Apabila ditawarkan rumah ini, hanya air mata sahaja yang mampu mengalir. Saya amat bersyukur kerana beban yang ditanggung semakin berkurang. Bukan itu sahaja, Rumah Wilayah Prihatin ini juga turut dibaiki serta dilengkapi dengan perkakasan elektrik seperti lampu dan kipas,” tuturnya yang mengakui apa yang diperolehnya seolah-olah seperti mimpi.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas