Fokus

YWP peruntuk RM50,000

|ZAIZALNIZAM
- Diterbit 27 September 2020 6:20 AM MYT

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) memperuntukkan sebanyak RM50,000 tahun ini bagi menyediakan kelengkapan rumah untuk keselesaan penerima program Rumah Wilayah Prihatin.

ZAIZALNIZAM

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zaizalnizam Zainun, peruntukan tersebut bakal ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan.

“Nilai barangan kelengkapan perkakas rumah bagi setiap penerima program tersebut bernilai RM2,500 yang mana kita akan mengenal pasti keperluan penghuni terlebih dahulu.

“Untuk itu, bancian akan dilakukan kerana pihak YWP tidak akan menggantikan perkakas rumah yang masih elok dan boleh digunakan,” ujar beliau kepada Wilayahku.

Antara keperluan perkakas rumah yang disumbangkan terdiri daripada kipas siling, langsir, peti ais, kelengkapan bilik tidur dan sebagainya.

Dalam pada itu, Zaizalnizam turut berharap agar penerima menghargai usaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dalam meringankan beban mereka dengan pemberian rumah percuma tersebut.

“Semoga penerima yang layak dapat menjaga sebaiknya pemberian tersebut dengan menggunapakai kemudahan dengan tertib serta tidak melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan.

“Ini merupakan satu peluang keemasan yang tidak diperoleh oleh semua orang. Jadi  cubalah untuk menghargai apa yang telah dihadiahkan,” ujar beliau.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas