Berita

Hutan poket selari hasrat Garden City Wilayah Persekutuan

HUTAN poket yang diwujudkan di KLIA.
- Diterbit 9 April 2021 5:08 AM MYT

BAGI menjayakan hasrat 1 juta pokok ditanam di Wilayah Persekutuan dan menepati konsep taman dalam bandar, hutan poket boleh diwujudkan sekali gus meningkatkan kualiti hidup masyarakat bandar.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr Khali Aziz Hamzah berkata, langkah itu juga dapat memastikan komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi dengan kawasan berhutan dan pokok-pokok tercapai.

“Walaubagaimanapun, hutan poket atau hutan kecil ini lebih sesuai diwujudkan di kawasan atau lokasi yang diperuntukkan sebagai kawasan hijau bandar agar kawasan ini terus kekal seiring dengan pembangunan kawasan persekitaran.

“Kawasan hutan poket ini juga berpotensi dijadikan kawasan penanaman secara ex situ (ex situ
conservation) pokok-pokok terancam sebagai satu aspek pendidikan untuk masyarakat bandar.

“Pelbagai spesies yang berlainan saiz boleh ditanam dalam usaha mewujudkan hutan poket ini,” katanya sambil menyatakan, penekanan tema perlu kepada suasana yang mirip dan mimik keadaan semula jadi di dalam hutan.

HUTAN poket yang terdapat di Wisma Sumber Asli (Kementerian Tenaga dan Sumber Asli).

Dengan itu, jelas beliau, hutan mini akan menyuntik kelainan persembahan reka bentuk landskap dari segi pemilihan spesies tumbuhan, struktur dirian tumbuhan dan kepelbagaian tumbuhan yang tinggi dalam satu-satu kawasan kecil.

Menurutnya, kombinasi tumbuh-tumbuhan mengikut strata sebenar yang terdapat di dalam
hutan asli seperti tumbuhan ground cover, understorey, canopy dan emergent adalah penting
bagi menghasilkan struktur hutan.

Beliau juga memaklumkan, FRIM turut terlibat dalam pelbagai program yang mengetengahkan kepentingan hutan dan pemuliharaan alam sekitar.

“Sebagai contoh kejayaan membangunan sebuah kawasan hutan poket dalam satu kawasan kecil
di dalam terminal satelit KLIA sekitar 1995-1998 berkonsepkan Airport in the forest, forest in the airport (Lapangan terbang di dalam hutan, hutan di dalam lapangan terbang) kejayaan mewujudkan sebuah kawasan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Khali memberitahu, hutan poket di kawasan bandar boleh menjadi lokasi  rekreasi dan riadah di samping memainkan peranan penting dalam pendidikan mengenai biodiversiti, alam sekitar dan pemuliharaan hutan.

Ini kerana, katanya, selain beriadah dan berekreasi, melalui kunjungan ke kawasan hutan itu, orang awam boleh mengenal dengan lebih dekat spesies-speses pokok hutan, khasiat, kegunaan serta kepelbagaian flora dan fauna yang wujud.

Tambah beliau, ia sekali gus meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan  pemeliharaan dan puliharaan kawasan hijau serta kawasan hutan bandar.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas