Atlet Wilayah

Hui Ying impi beraksi di pentas Olimpik

AKSI Hui Ying ketika SUKMA XX MSN 2022 dalam acara 5,000 meter lumba jalan kaki wanita.
- Diterbit 4 Jun 2023 7:00 AM MYT

BARU berusia 18 tahun, namun atlet olahraga Wilayah Persekutuan, Kok Hui Ying, merupakan antara atlet muda dilihat memiliki potensi yang boleh digilap untuk menyinari dunia olahraga suatu hari nanti.

Mula aktif dalam sukan olahraga sejak berumur 11 tahun, atlet muda ini mengakui disiplin yang ketat perlu untuk memastikan dirinya berjaya kelak.

“Bagi saya, para atlet wajib melakukan senaman fizikal kerana ia adalah faktor utama dalam menentukan kejayaan sebahagian besar atlet, justeru program yang tepat amat diperlukan oleh setiap ahli sukan untuk memastikan mereka dapat berada dalam keadaan terbaik apabila menyertai sesuatu pertandingan.

“Di samping itu, ketahanan mental juga memainkan peranan yang penting. Saya perlu bersedia memberi 100 peratus fokus sebelum beraksi untuk mengelakkan sebarang kecederaan,” ujarnya kepada Wilayahku.

Dalam pada itu, atlet kelahiran Selangor ini memaklumkan dia memiliki cara tersendiri untuk mengekalkan fokus ketika berolahraga.

“Setiap orang mempunyai cara yang tersendiri. Bagi saya antara kunci utama adalah mendapatkan tidur yang secukupnya, mengamalkan pemakanan yang seimbang serta membuat latihan fizikal untuk lebih cergas,” ujar anak bongsu daripada tiga orang
adik-beradik ini.

Mula bergiat dalam olahraga sejak tahun 2016, Hui Ying yang juga merupakan bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil memasang impian untuk mencipta kejayaan unggul dalam dunia olahraga antarabangsa.

“Untuk ke arah itu, saya perlu lebih bersiap sedia dan melakukan lebih banyak latihan agar penampilan pada pemilihan itu nanti akan memberi kejayaan luar biasa kepada saya,” ujarnya.

Tambahnya lagi, jika diizinkan dia ingin melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik dan menyumbangkan emas sekali gus menggembirakan keluarga yang sentiasa memberi sokongan terhadapnya.

“Sukan Olimpik adalah sukan yang terbesar dalam dunia sukan, jika menjadi kaya pada suatu hari nanti tetapi jika tidak dapat beraksi pada pentas itu saya tidak akan merasa puas,” ujarnya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas