Berita

Hormati keputusan, proses rayuan Lembaga Pengampunan – PM Anwar

- Diterbit 2 Februari 2024 8:25 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak agar menghormati keputusan Lembaga Pengampunan Diraja yang telah memutuskan untuk memberi potongan 50 peratus hukuman keatas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Katanya, Najib kini melalui proses undang-undang dan berada dalam penjara namun ia adalah hak setiap rakyat yang disabitkan untuk merayu kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Saya pernah duduk di Lembaga Pengampunan sebagai menteri yang menjaga Kuala Lumpur, dan kini ia dipegang oleh orang lain.

“Tetapi sudah tentu Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan, berunding dengan Peguam Negara, Perdana Menteri dan ramai lagi. Baginda sudah tentu menjadi benteng untuk menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-Undang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama Stesen Televisyen antarabangsa Al-Jazeera hari ini.

Jelas Perdana Menteri, semua pertimbangan telah diambil kira dan kemudian Yang di-Pertuan Agong selepas mendengar daripada Lembaga Pengampunan akhirnya memutuskan untuk mengurangkan hukuman sebanyak 50 peratus yang bermaksud pada tahun 2028 (pelepasan).

“Jika RM50 juta dibayar, maka dia akan dibebaskan pada Ogos 2028. Tetapi jika tidak dibayar, maka ia akan dilanjutkan setahun lagi kepada 2029,” katanya.

Bagaimanapun kata Perdana Menteri, Najib masih terdapat kes yang sedang berjalan di mahkamah dan sedang melalui proses kehakiman secara bebas yang perlu diteruskan.

“Pada masa yang sama, Najib berhak sekali lagi merayu kepada Yang di-Pertuan Agong yang baharu dan proses itu perlu dihormati dabmn ia di luar (kuasa) Perdana Menteri atau kerajaan.

Perdana Menteri turut memberitahu bahawa beliau menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk memberikan potongan hukuman tersebut.

“Sekarang kita mempunyai Yang di-Pertuan Agong yang baharu. Apa sahaja yang dirasakan, sudah tentu ia sangat politik, ada yang menyokong, ada yang tidak.

“Tetapi mereka tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa anda mesti menghormati hak setiap orang yang disabitkan kesalahan untuk merayu kepada Lembaga Pengampunan.

“Kini Lembaga Pengampunan telah membuat keputusan. Jika seseorang berpuas hati daripada proses keadilan dan, jika tidak berpuas hati dia masih mempunyai jalan untuk merayu pada peringkat lain kemudian,” katanya.

Sebelum ini, Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 yang di pengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah telah bersidang pada 29 Januari lalu telah membuat keputusan mengurangkan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri tersebut.

Keputusan itu mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai dan ada yang menggesa supaya bekas Ahli Parlimen Pekan itu wajar dibebaskan.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas