Hockademy KL berpotensi tinggi
KLINIK hoki yang dijalankan berjaya mencungkil bakat pelapis cilik.

Hockademy KL berpotensi tinggi

KUALA LUMPUR – Selepas merangkul kejuaraan Liga Hoki Wanita Malaysia 2020, pasukan Hockademy Kuala Lumpur dilihat mampu mencapai lebih banyak kecemerlangan pada masa akan datang.

Ia diakui pemain utama Hockademy Kuala Lumpur, Hanis Nadiah Onn lebih-lebih lagi setelah melihat kejayaan kelabnya itu mewujudkan klinik khas hoki yang bertujuan melahirkan pemain pelapis berkualiti.

“Mereka (Hockademy) mempunyai perancangan masa depan yang amat baik terutama bagi melahirkan barisan pemain pelapis.

“Menjulang kejuaraan dalam saingan liga bersama Hockademy pastinya akan membuatkan pasukan ingin meraih lebih banyak kejayaan sekali gus mampu melangkah jauh biarpun masih baharu,” kata Hanis.

Pasukan wanita Hockademy Kuala Lumpur memahat sejarah baharu arena hoki negara apabila menjuarai Liga Hoki Wanita Malaysia 2020 pada penampilan sulung mereka dalam liga tersebut pada Febuari lalu.

Pasukan yang juga turut diperkuat dengan kehadiran beberapa orang pemain hoki kebangsaan bersaing dengan pasukan Blue Warriors, PKS-UNITEN, Mutiara Impian-MSSPP-PSHA, Sabah dan Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) dalam Liga Hoki Wanita Malaysia 2020. – WILAYAHKU

CATEGORIES