Berita

Henti bincang isu pengampunan Najib – PM Anwar

- Diterbit 5 Februari 2024 10:06 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semua pihahk untuk mengehentikan perbahasan, perbincangan dan pandangan berhubung isu Lembaga Pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, keputusan Lembaga Pengampunan yang memberi pengurangan hukuman kepada bekas Perdana Menteri itu dibuat atas pertimbangan ihsan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Kita juga faham orang mempunyai pandangan kuat dan tegas. Jadi, kita beri laluan sedikit tetapi selepas penjelasan dibuat, ia harus dihentikan.

“YDPA sebagai mercu keihsanan atau fountain of mercy, samada YDPA memilih untuk memberikan penjelasan atau tidak itu wewenang Tuanku,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam amanat bersama Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya hari ini.

Hadir sama, Timbalan-Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Menurut Perdana Menteri, beliau mengambil sikap untuk mengemukakan rayuan Najib Razak kepada Lembaga Pengampunan setelah melalui proses yang ditetapkan.

“Sudah menjadi hak mana-mana tahanan atau banduan mengemukakan pandangan dalam mengemukakan rayuan kepada Lembaga Pengampunan.

“Ada yang mengatakan mesti minima tiga tahun (menjalani hukuman) dan itu tak betul dan siapa sahaja kali pertama, ikut prosesnya boleh kemukakan rayuan, dan dalam kes ini apabila rayuan dikemukakan itu benar, Perdana Menteri (perlu) memastikan rayuan itu didengari.

“Jadi saya memang akui tanggunggjawab itu. Jadi kalau ditanya mengapa Perdana Menteri mengambil sikap untuk mengemukakan cadangan rayuan dari Datuk Seri Najib begitu awal, saya kata sebaik sahaja saya mendapat mana-mana rayuan, saya mohon supaya lembaga pengampunan bicarakan,” katanya.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas