Atlet Wilayah

Hazim mahu baiki ranking skuasy dunia

AKSI Muhammad Hazim (kanan) di CIMB 12th National Junior Circuit 2nd Leg Kuching 2023.
- Diterbit 13 Ogos 2023 2:00 AM MYT

KOMITED dalam ­membaiki ranking dunia sebagai ­pemain skuasy ­profesional junior, Muhammad Hazim Mukhizam, 16, berharap dia ­berjaya mendapat ­biasiswa sukan untuk menimba ilmu sekali gus mendapat pendedahan di pentas kejohanan antarabangsa.

Baru sahaja dinobatkan juara ­dalam Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan (MSSWP) Putrajaya 2023 bulan ­lalu, Muhammad Hazim ­berkata dia sudah ­berdaftar di bawah Professional Squash Association (PSA) sebagai ­pemain profesional junior pada ­awal tahun 2023.

“Ranking saya yang ­terkini ­adalah di nombor 22 bagi ­kategori BU17 dan saya akan ­perbaiki ­lagi sehingga mencapai satu tahap yang lebih baik. Oleh kerana itu, saya menyimpan hasrat ­untuk mendapatkan biasiswa sukan ­bagi melanjutkan pelajaran di luar ­negara dan ­berpeluang ­menimba ­ilmu ­dengan jurulatih profesional.

“Di samping itu, ia ­juga ­membuka peluang buat saya untuk menyertai lebih banyak ­kejohanan profesional,” ujarnya yang bercita-cita untuk bergelar pemain skuasy hebat.

Berkongsi mengenai ­perkembangan terbaharunya, ­pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 11(2) itu berkata pertandingan seterusnya adalah Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2023 yang akan berlangsung di Ipoh, Perak pada penghujung Ogos ini.

“Antara persediaan saya ­adalah dengan menjaga kesihatan ­diri, meningkatkan stamina serta ­sesi latihan private 1 to 1 bersama ­jurulatih sekolah dan juga ­daripada Persatuan Skuasy Wilayah Persekutuan Putrajaya.

“Selain itu, saya akan menyertai latihan pusat skuasy untuk MSSM di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya yang sudah menceburi bidang skuasy ­sejak berusia 10 tahun.

Dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Murid Cemerlang Sukan Kategori Sekolah Menengah (Lelaki) daripada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya Februari ­lalu, Muhammad Hazim berkata ia ­merupakan ­pembakar semangat buat dirinya untuk ­melakukan yang lebih baik pada ­masa akan datang.

“Sangat terharu dan ­bangga ­kerana terpilih untuk ­anugerah ini tambahan pula calon lain ­juga hebat. Walau bagaimanapun, ia ­menjadi penyuntik semangat buat saya ­untuk meningkatkan ­lagi ­pencapaian ­dalam sukan skuasy terutama di pentas antarabangsa.

“Selain itu, Februari lalu ­juga saya telah menerima Anugerah Khas Pemain SRAPutrajaya daripada pihak Persatuan Skuasy Wilayah Persekutuan Putrajaya dan anugerah tersebut adalah ­untuk menghargai semua ­pencapaian saya di dalam skuasy serta akdemik,” ­kongsinya yang teruja dan ­bangga dengan ­pencapaian dimilikinya ­pada usia 16 tahun. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas