Berita

Sedia perumahan berkualiti untuk rakyat

ZURAIDA (kanan) membantu seorang penghuni orang kurang upaya pada majlis Sambutan Hari Habitat Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 di PPR Tehel, Melaka baru-baru ini. Turut kelihatan, timbalannya, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah dan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.
- Diterbit 22 November 2019 9:39 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI

PENGURUSAN perumahan dan perancangan pembangunan amat penting bagi menjana habitat yang mampan, berdaya huni, berkualiti dan inklusif serta mampu dimiliki oleh rakyat.

Oleh itu, Dasar Perumahan Negara (2018-2025) atau lebih dikenali sebagai DRN dirujuk bagi memacu sektor perumahan negara ke arah pengurusan perumahan yang sistematik secara keseluruhan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, pelaksanaan DRN disokong oleh akta dan perundangan bagi memastikan perancangan, pelaksanaan dan pembangunan hartanah dilaksanakan dengan terancang serta memenuhi keperluan setiap kumpulan sasaran.

Justeru ujar beliau, beberapa perundangan dan akta perlu digubal bagi mendukung pelaksanaannya.

“Antaranya adalah akta yang sedia ada iaitu Akta Pengurusan Strata (Akta 757); Akta Hakmilik Strata 1985 (Akta 318) dan Akta Pemajuan Perumahan 1966 (Akta 118) sedia ada dan akan dipinda bermula pada tahun 2019.

“Akta baharu pula adalah Akta Perbadanan Pengurusan Perumahan; Akta Sewaan Kediaman; Akta Pemajuan Komersial dan Akta Pembangunan Tanah Wakaf,” ujarnya.

Menurut Zuraida, sebahagian cabaran dalam industri perumahan dikenal pasti iaitu ketidakmampuan untuk membeli rumah, ketidaksepadanan antara penawaran dan permintaan rumah mengikut lokasi atau harga, ketiadaan agensi tunggal yang menyelaras dasar perumahan serta pola pemilikan rumah dan kependudukan tidak seimbang yang berasaskan kaum dan kelas ekonomi (pendapatan).

Jelas beliau, ekoran itu, lima skop utama akan diberi perhatian menerusi formulasi DRN yang mana fokus utama adalah kemampuan memiliki rumah dinilai berdasarkan kepada analisis semasa keadaan harga rumah dan pendapatan isi rumah penduduk.

Di samping itu katanya, ia juga mengambil kira soal penawaran perumahan semasa serta skim pembiayaan yang menyasarkan golongan tertentu bagi menyediakan perumahan mampu milik melalui program perumahan yang lebih berdaya saing.

“Selain itu, analisis spatial dilakukan untuk mencapai piawaian perumahan berkualiti harus dinilai dalam konteks kejiranannya yang lebih luas merangkumi kemudahan awam dan pada masa sama mengkaji semula rangka kerja pemantauan serta penilaian bagi penyelarasan program perumahan dan perbelanjaan fiskal kerajaan.

“Pelaksanaan perancangan itu juga sejajar dengan matlamat DRN iaitu bagi memandu arah dan memacu sektor perumahan negara dengan menekankan pembangunan serta pengurusan perumahan yang sistematik selain strategi dan pelan tindakan yang dirangka bersifat holistik dalam memenuhi keperluan menjaga kebajikan rakyat,” jelasnya.

Zuraida memberitahu, DRN akan sentiasa dikaji semula secara berkala dan dikemas kini bagi menangani isu dan cabaran pembangunan semasa sejajar dengan objektif utama pembentukannya iaitu bagi menentukan hala tuju perancangan dan pembangunan sektor perumahan di Malaysia.

Tambah beliau, dasar itu akan menjadi panduan kepada semua entiti yang berkaitan dengan perancangan dan pembangunan perumahan sama ada di peringkat Persekutuan, negeri, tempatan atau pihak swasta.

“DRN 2018-2025 menetapkan objektif antaranya menyediakan rangka kerja pembangunan sektor perumahan, memperkukuhkan peranan sektor perumahan dan pengurusan konurbasi, memastikan peruntukan sosial sektor perumahan dinikmati oleh isi rumah yang berkelayakan.

“Selain itu, ia juga berobjektif untuk menggalakkan kepelbagaian akses isi rumah kepada perumahan menerusi pemilikan dan sewaan di samping menekankan penyediaan dan penyelenggaraan perumahan berkualiti yang mampu dimiliki oleh rakyat,” jelasnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas