Berita

Hanya orang jahil yang berani persenda kalam Allah – Mufti Pulau Pinang

- Diterbit 14 Februari 2024 2:06 PM MYT

HANYA orang jahil yang berani mempersenda kalam Allah S.W.T atau hadis Rasulullah S.A.W dengan memperlecehkan hukum agama yang telah ditetapkan Allah, demikian tegas Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

“Kejahilan sering mededahkan seseorang kepada bahaya dan lantaran itu Islam amat menggalakkan penganutnya agar sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan sama ada dalam bidang agama (Islam) atau lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Wilayahku ketika mengulas tindakan pempengaruh media sosial yang dikenali DD Chronicles yang membuat video parodi dengan menggambarkan bahawa orang Islam bebas untuk melanggar perintah agama termasuklah boleh meminum arak, berjudi dan liwat kerana tidak terikat dengan undang-undang sivil.

Tegas Wan Salim perbuatan tersebut adalah tidak beretika dan boleh merosakkan aqidah seorang Muslim jika dilakukan dengan sengaja dan dalam keadaan sedar.

“Menerusi Firman Allah bermaksud: “Adakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu memperolok-olokkan? Janganlah kamu berdalih lagi, sesungguhnya kamu telah kufur setelah keimanan kamu.” (Surah at-Taubah: 65,66),” katanya.

Wan Salim berkata hukum agama bukanlah bahan permainan kerana ia diturunkan oleh Tuhan yang mencipta kita (manusia) dan alam jagat seluruhnya.

“Sebaliknya hukum Allah wajib dihormati sebagai sesuatu yang suci dan seorang Muslim perlu ada perasaan bimbang terhadap kemungkinan menjadi murtad dengan tidak disengajakan!

“Lantaran itu saya menyeru golongan yang suka mempersendakan hukum Allah supaya segera bertaubat kerana kita tidak tahu bilakah Malaikat Maut akan mengambil nyawa kita,” katanya.

Semalam, DD Chronicles atau nama sebenarnya Didi Sulaiman Rae, 44 telah menerbitkan video parodi berdurasi 3 minit 25 saat menerusi laman Facebook miliknya.

Rentetan daripada video tersebut, ia mengundang perasaan marah berikutan kandungan yang memutar belitkan fakta disamping telah menghina keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai pembatalan 16 Enakmen Jenayah Syariah Kelantan minggu lalu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas