Berita

HALIM YAZID Selami Erti Kemerdekaan Dalam Dikir Barat

|HALIM YAZID bawa mesej kemerdekaan dalam lagu Malican Kebangsaan|DAPATKAN koleksi lagi Dikir Barat daripada Halim Yazid
- Diterbit 27 Ogos 2020 11:40 PM MYT

SEMPENA bulan kemerdekaan, penyanyi irama dikir barat popular Halim Yazid,59, mengaku perpecahan di kalangan masyarakat boleh terjadi apabila berlakunya perselisihan faham. 

Menurut Halim, dia sendiri pernah mencipta sebuah lagu dikir barat berjudul Malican Kebangsaan yang mengisahkan perihal masyarakat Malaysia dan kemerdekaan. 

“Kita sebenarnya sudah bersatu walaupun berbeza kaum, agama dan adat. Cuma kerana kuasa kita selisih Faham. 

“Jadi, ulang tahun Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos wajib dihayati oleh semua rakyat untuk kita kembali mengenang berapa sukarnya untuk mencapai kemerdekaan.

“Apabila semua menghayati makna kemerdekaan, itu salah satu cara untuk kita kembali bersatu walaupun ada perbezaan antara kita,” kata Halim Yazid kepada Wilayahku. 

Dalam lagu tersebut, Halim turut mengimbas kembali detik-detik kemerdekaan yang dilaungkan oleh Perdana Menteri pertama kita Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

“Lagu ini sebenarnya banyak mesej tentang kemerdekaan. Misalnya rakyat perlu tahu Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan yang sudah termaktub dalam perlembangaan.

“Tiada siapa pun  yang boleh mempertikaikannya kerana Bahasa Melayu yang menyatupadukan kita semua dalam satu bahasa dan tulisan.

“Selain itu, kepelbagaian pakaian antara kaum juga melambangkan kita bersatu. Misalnya baju Melayu, kurung, Cheongsam, Sari dan banyak lagi, itu adalah pakaian kebangsaan di mana ia menjadi warisan zaman-berzaman. 

“Ini secara tidak langsung menunjukkan kepelbagaian yang wujud tidak menghalang untuk kita bersatu,” jelasnya lagi.

Halim juga turut menyentuh tentang Bunga Raya sebagai bunga kebangsaan yang juga dianggap sebagai bunga perpaduan. 

Pemilihan bunga raya sebagai Bunga Kebangsaan begitu tepat kerana lima kelopaknya melambangkan lima prinsip Rukun Negara.

“Bagi saya, maksud di sebalik bunga raya ini sangatlah penting kerana rukun negara adalah teras perpaduan.

“Ia juga menjadi hiasan dalam setiap majlis rasmi kita semua. Secara langsung, Bunga Raya juga melambangkan keindahan negara,” luahnya yang akan terus membawa elemen patriotik dalam lagu-lagunya yang akan datang.

HALIM YAZID bawa mesej kemerdekaan dalam lagu Malican Kebangsaan. Foto: Amin Farij Hassan

Dikir Barat bawa mesej positif

Halim Yazid yang merupakan pejuang irama Dikir Barat ini berharap mesej-mesej positif yang dibawa dapat diserap ke dalam diri masyarakat.

Baginya, aura positif sangat penting dalam mengekalkan perpaduan di kalangan rakyat.

“Tidak dinafikan, pada era 70-an dulu Fikir Barat sering dikaitkan dengan elemen negatif seperti seni kata lucah dan menghina kaum wanita.

“Saya terlalu meminati Dikir Barat, jadi saya selalu berfikir bagaimana mahu irama ini diterima secara meluas dan bukan di kalangan masyarakat Kelantan sahaja.

“Jadi saya masukkan elemen positif dalam seni kata atau lirik lagu. Pemikiran positif ini sangat penting kerana ia adalah punca pembangunan rakyat.

“Kalau diamati lagu-lagu Saya, semuanya positif. Namun, bukan senang sebenarnya mahu menyampaikan mesej positif secara santai. Banyak penyelidikan perlu dibuat.

“Apabila kajian dibuat ditambah dengan bakat yang ada, maka terhasillah karya positif,” katanya yang menjadikan lagu Kecek Dengan Anok (bercakap dengan anak) sebagai contoh mesej positif.

 

Tak sangka popular

Menurut Halim, daripada minat akhirnya menjadi popular dan menjadi contoh kepada pejuang dikir Barat yang lain.

“Pada awal umur 20 tahun dulu, saya hanya suka-suka menyanyi dan menghasilkan lagu Dikir Barat, tak sangka pula boleh jadi popular.

“Mungkin masih ada yang tidak mengenali saya kerana ramai peminat lebih tahu lagu-lagu saya. 

“Misalnya lagu Anak Tupai yang pernah mencipta fenomena satu ketika dulu. Malah sehingga sekarang lagu itu masih menjadi siulan. 

“Fenomena Anak Tupai ini sedikit sebanyak menaikkan taraf irama Dikir Barat itu sendiri.

“Kalau dulu, ada segelintir pihak yang menganggap irama ini berada di tahap rendah berbanding genre muzik lain, kini tidak lagi. 

” Tidak keterlaluan, irama ini sebenarnya sudah ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’ dengan irama muzik yang lain,” tambahnya lagi.

DAPATKAN koleksi lagi Dikir Barat daripada Halim Yazid

Sebelum ini, Halim sudah muncul dengan album seperti Angin, Inovasi, Infiniti, Sarana, Personaliti dan Destini.

Istimewa buat semua peminat Halim Yazid dan penggemar lagu dikir barat, anda boleh mendapatkan koleksi 73 buah lagu daripada tujuh albumnya dalam satu pendrive. 

Sebarang maklumat lanjut boleh hubungi di talian 019-9865151 untuk mendapatkan pendrive tersebut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas