Selebriti

Hadiah istimewa Exists buat peminat

ANGGOTA kumpulan Exists.
- Diterbit 17 November 2023 2:00 AM MYT

KUMPULAN Exists bakal menjayakan konsert Exists X Orkestra pada 22 Disember depan sebagai menghargai peminat setia mereka selama ini.

Teruja dengan konsep orkestra yang pertama kali akan diketengahkan selepas 32 tahun berada dalam industri, Exists bakal memberi anugerah istimewa buat peminat kelak.

Menurut Along Exists, lebih 40 peratus persiapan sudah dijalankan dan berharap semuanya seperti yang dijadualkan.

“Sejujurnya memang tidak begitu mudah menjayakan Exists X Orkestra ini tapi kami menikmati dan belajar melalui proses demi proses termasuk menyiapkan semua susunan lagu.

“Kemudian kami serahkan kepada arranger muzik orkestra untuk digabungkan susunan muzik bersama. Fasa seterusnya adalah saat yang dinantikan iaitu sesi latihan Exists dan orkestra. Apa yang pasti, gabungan kami akan menghasilkan semua lagu ke tahap yang lebih sedap,” katanya.

Ujar Along lagi, peminat yang hadir ke konsert di Megastar Arena tersebut akan menjadi saksi lagu pertama yang dirakam mereka iaitu Rahsia Pohon Cemara dipersembahkan dengan mewah dalam balutan orkestra.

Rahsia Pohon Cemara dihasilkan sepenuhnya oleh LY pada tahun 1991 dan terdapat dalam album pertama berjudul Exist. Pada konsert tersebut, Exists akan menghasilkan Rahsia Pohon Cemara dalam versi yang berbeza.

“Lagu tersebut punya nilai sentimental buat Exists kerana inilah lagu pertama yang kami rakamkan dan termuat dalam album sulung. Untuk konsert ini, pertama kali di Exists X Orkestra, Rahsia Pohon Cemara dipersembahkan dengan sangat istimewa,” ujarnya.

Tiket dijual bermula RM 568, RM 468, RM 368, RM 268 dan RM 168 dan boleh dibeli menerusi laman sesawang www.MyTicket.Asia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas