Berita

Greece meterai perjanjian pembelian jet pejuang dengan Perancis

- Diterbit 26 Januari 2021 6:19 AM MYT

GREECE pada Isnin menandatangani perjanjian bernilai berbilion Euro dengan Perancis untuk pembelian 18 jet tempur Rafale buatan Dassault, lapor Agensi Anadolu.

Perjanjian 2.5 bilion euro (US$3.03 bilion) ditandatangani Menteri Pertahanan Nikos Panagiotopoulos dan rakan sejawatannya dari Perancis, Florence Parly.

Panagiotopoulos menekankan bahawa pembelian jet pejuang “adalah tonggak dalam kerjasama pertahanan dan hubungan antara Greece dan Perancis,” sambil menambah Tentera Udara Greece telah diperkuat secara signifikan.

Enam pesawat pertama akan tiba di Pangkalan Tentera Udara Tanagra pada Julai.

“Negara kita kini mempunyai banyak persamaan,” kata Parly, menyatakan harapannya  Angkatan Laut Greece akan memperoleh kapal-kapal Perancis dalam usaha pembaharuan armadanya.

“Perancis tidak lama lagi akan membuat tawaran kepada syor Greece  untuk memperbaharui kekuatan pasukan armadanya” tambahnya.

Perdana Menteri Greece Kyriakos Mitsotakis berpendapat  pembelian peralatan ketenteraan baru-baru ini bukan merupakan ancaman kepada negara lain.

“Lagi pula, pertahanan Greece tidak pernah membahayakan negara lain. Sebaliknya, ia sering menjadi faktor keselamatan di wilayah yang lebih luas,” katanya selepas pertemuannya dengan Parly pada Isnin.

Greece merancang membeli enam jet Rafale baharu dan 12 jet terpakai dari Perancis dan akan membelanjakan 400 juta euro untuk peralatan yang berkaitan.

Kos pertahanannya dianggarkan mencecah sekitar 5.5 bilion euro, lebih dua kali ganda berbanding perbelanjaan tahun lalu.

Meskipun menghadapi kesulitan ekonomi, negara Mediterranean itu membelanjakan 2.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk pertahanan pada 2019.

Greece mengambil langkah meningkatkan kekuatan ketenteraan dan kemampuan pertahanannya manakala pada Mei ini, negara itu akan melanjutkan tempoh perkhidmatan ketenteraan wajibnya dalam pasukan darat dari sembilan hingga 12 bulan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas