Biz

Grab’s #TechUntukSemua bantu peniaga kecil kembali jana pendapatan

PERNIAGAAN Zalilah kembali pulih selepas menyertai GrabMart. PERNIAGAAN Zalilah kembali pulih selepas menyertai GrabMart.
- Diterbit 11 Mei 2021 4:49 AM MYT

PENULARAN wabak COVID-19 sejak tahun lalu membuatkan peniaga kecil beralih sepenuhnya kepada konsep tempah dan hantar bagi mengekalkan perniagaan yang menjadi punca pendapatan keluarga.

Menariknya, walaupun baru ‘berjinak’ dan mendalami proses jualan dan pembelian secara atas talian, peniaga terlibat berjaya berdiri teguh sehingga kini.

Seperti yang dilalui peniaga di bawah program inisiatif Grab’s #TechUntukSemua, usia tua bukan penghalang untuk mereka beralih ke arah digitalisasi.

Menurut penjual sayur di Pasar Bayan Baru, Pulau Pinang, Zalilah Ismail, 54, dia berkahwin seawal usia 16 tahun dan sebagai suri rumah, urusan perniagaan mahupun pengalaman kerja serta cara berkomunikasi dengan orang luar bukanlah kepakarannya.

Bagaimanapun, selepas membantu kakak iparnya menjual sayur selama beberapa tahun, dia diberi peluang untuk menguruskan perniagaan.

“Saya tidak tahu apa-apa berkaitan perniagaan, tetapi suami sentiasa memberi dorongan dan galakkan. Oleh itu, saya mencubanya.

“Untuk pengetahuan, menyewa gerai di Pasar Bayan Baru bukanlah mudah kerana kos sewaan adalah tinggi selain merupakan pasar tarikan pengunjung,” katanya berkongsi cerita.

Tidak hanya mengalah, Zalilah mula mempelajari selok belok perniagaan sehinggalah menyedari dua perkara penting yang perlu diutamakan iaitu jujur dan bermurah hati.

Malah, sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia terus mengekalkan prinsip ‘timbang, jangan tipu’ walaupun ketika berniaga menerusi aplikasi GrabMart.

Bercerita tentang pengalamannya menggunakan teknologi baharu itu dalam urusan jual dan beli, ujar Zalilah, pada awalnya dia juga ragu-ragu tentang keberkesanan digitalisasi yang berkembang pesat masa ini.

“Mestilah saya bimbang jika tidak dapat sebarang keuntungan melaluinya. Tetapi selepas mengetahui konsepnya dan cara untuk mengimbangi stok dengan tempahan, perniagaan yang dijalankan semakin melonjak.

“Walaupun sekarang dalam tempoh pemulihan, saya tetap bersemangat untuk terus berniaga menggunakan teknologi yang ada,” katanya sambil menambah, setiap individu perlu mempercayai kemampuan diri.

Seperti Zalilah, Alan Tan yang menjual Yong Peng Fishball di Johor turut mengakui teknologi begitu membantu golongan peniaga yang terjejas sepanjang tempoh PKP.

INISIATIF yang dilaksanakan Grab membantu peniaga kecil seperti Alan mendapatkan pelanggan secara maya.

Ujar Alan, dengan bantuan anak lelakinya, aplikasi GrabFood berjaya didaftar bagi meningkatkan hasil jualannya yang merosot sehingga 50 peratus.

“Menerusi inisiatif ‘Medan Selera GrabFood’ dan ‘Pasar GrabMart’, Grab begitu membantu peniaga kecil di seluruh Malaysia.

“Malah, terkini, Grab memperkenalkan plan ‘GrabForGood Fun’ untuk menyokong program yang akan memberi kesan kepada kualiti hidup komunitinya di seluruh Asia Tenggara,” jelas Alan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas