Berita

Pelbagai pihak berpadu bantu warga memerlukan

KHAIRUL Anuar menunjukan fasa penyerahan barang sumbangan kepada penduduk PPR Indah Baiduri, Selayang. KHAIRUL Anuar menunjukan fasa penyerahan barang sumbangan kepada
- Diterbit 30 Julai 2021 9:33 AM MYT

MENYEDARI kesukaran hidup yang didepani oleh rakyat terutama golongan berpendapatan rendah (B40), berikutan penularan pandemik COVID-19, pelbagai pihak yang berkemampuan bersilih ganti tampil menghulur bantuan.

Usaha murni melalui agihan bantuan tunai atau sumbangan barang keperluan harian dan lain-lain adalah sebahagian sikap prihatin ditunjuk warga masyarakat untuk bersama membantu golongan yang serba kekurangan.

Menurut Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk Intan Baiduri, Khairul Anuar Yusoff, fenomena penularan COVID-19 telah menjejaskan segenap lapisan rakyat, terutamanya penduduk B40, telah menggamit simpati sebuah NGO apabila tampil menghulur sumbangan barang keperluan.

SALAH seorang anggota Polis memantau proses serahan sumbangan kepada
salah seorang penerima.

Katanya, sumbangan lebih 130 pek barang dapur setiap satu bernilai kira-kira RM100 oleh individu hanya dikenali sebagai Dr. Zyro Wong itu amatlah dihargai para penerima yang rata-ratanya sedang memerlukan bekalan makanan.

“Jadi dengan kehadiran badan NGO itu memberi sumbangan kepada kalangan penduduk di PPR Intan Baiduri yang terputus bekalan, ia umpama rezeki yang dinantikan oleh penerima,” katanya ketika dihubungi oleh Wilayahku, baru-baru ini.

Barang sumbangan yang disampaikan oleh wakil penderma itu telah diterima Persatuan Penduduk sambil proses pengagihannya dipantau rapi oleh sepasukan anggota polis dari Balai Polis Jinjang dan Sentul bagi memastikan aspek pematuhan SOP diikuti oleh semua yang terlibat.

Menurut Khairul Anuar, urusan serahan bantuan kepada penduduk yang layak dikawal selia oleh Pengerusi Persatuan Penduduk dan AJK terlibat diagihkan kepada enam blok perumahan di mana setiap satu blok menerima 30 beg barangan.

“Antara barang diberi ialah beras, telur, kopi gula, susu, minyak masak, biskut dan lain-lain lagi yang dianggarkan nilainya hampir RM100.

“Jadi pada kesempatan ini, kami ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada penyumbang di atas keprihatinan terhadap nasib warga memerlukan.

“Tidak dilupakan barisan anggota Polis yang juga telah melaksana tugas masing-masing dengan baik bagi memastikan kelancaran proses agihan yang berlangsung,” jelasnya. WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas