Berita

Gelandangan ditawar kerja lepas PKP

GELANDANGAN yang layak dan bersesuaian akan disaring untuk ditawarkan pekerjaan selepas PKP. GELANDANGAN turut diminta memakai topeng muka sebagai langkah keselamatan bagi elakkan sebarang jangkitan.
- Diterbit 10 April 2020 1:33 PM MYT

KUALA LUMPUR – Tiada gelandangan dibenarkan kembali merempat sebaliknya akan ditawarkan bekerja di sektor perkilangan atau pekerja am dengan gaji antara RM1,200 hingga RM1,400 sebulan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam Pusat Pengurusan Krisis (CMC) dan beberapa syarikat sedia menawarkan peluang pekerjaan.

“Seramai 800 gelandangan yang kini ditempatkan di penempatan sementara serta Anjung Singgah akan melalui proses saringan dan latihan jangka masa pendek.

“Terdapat beberapa syarikat sedia ambil mereka yang sesuai, sihat tubuh badan dan produktif,” kata beliau dalam sidang akhbar secara live di laman Facebook hari ini.

Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan berkata, terdapat 500 hingga 700 peluang pekerjaan termasuk operator pengeluaran di sekitar Lembah Klang dapat ditawarkan kepada golongan tersebut.

“Tapisan akan dibuat mengikut kesesuaian sama ada bekerja sebagai operator dengan gaji RM1,400 berserta elaun atau pekerja am dengan gaji harian dianggarkan RM1,200 hingga RM1,400 di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ,” katanya.

Annuar berkata, gelandangan itu akan ditawarkan pekerjaan selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ditempatkan di asrama pekerja.

“Mereka dijangka memulakan kerja pada 1 Mei namun bergantung kepada tempoh PKP sama ada dilanjutkan atau tamat,” katanya.

Pada masa kumpulan gelandangan di ibu negara yang diselamatkan oleh DBKL ditempatkan di empat pusat penempatan sementara dan di Anjung Singgah sepanjang PKP sebagai langkah bagi membendung penularan wabak Covid-19. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas