Berita

10,621 penjaja di ibu kota terima bantuan RM500 seorang

PENIAGA dan penjaja di ibu kota terjejas apabila tidak dapat beroperasi sepanjang PKP. Gambar hiasan BARISAN kedai yang menyediakan hidangan Makanan yang berasal di Negeri Cek Siti Wan Kembang.
- Diterbit 10 April 2020 1:42 PM MYT

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menyerahkan bantuan kepada 10,621 penjaja di ibu kota yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, bantuan secara ‘one off ‘ itu diberikan kepada penjaja yang telah melengkapkan maklumat lanjut dengan pihak DBKL.

“Bantuan RM500 untuk setiap penjaja itu telah didepositkan ke akaun penjaja secara elektronik melibatkan jumlah keseluruhan kira-kira RM4.4 juta.

“Daripada sasaran 17,000 penjaja, masih terdapat pemegang lesen penjaja yang belum tampil melengkapkan maklumat bagi memudahkan bayaran dibuat,” katanya dalam sesi Live di laman Facebooknya hari ini.

Sesi live itu jua disiarkan di laman Facebook Kementerian Wilayah Persekutuan dan Wilayahku.

Annuar memberitahu, DBKL juga telah menyampaikan sumbangan melalui program Wilayah Cakna dan Bantuan Prihatin dengan dua kaedah iaitu serahan tunai dari pintu ke pintu dan transaksi elektronik.

“Melalui serahan tunai dari pintu ke pintu di Perumahan Awam Seri Johor yang mempunyai 2,343 unit, DBKL telah berjaya membuat serahan kepada 1,753 unit bersamaan dengan nilai serahan lebih RM175,000.

“Terdapat kira-kira 590 unit pula gagal diserahkan kerana berkemungkinan penghuni tiada atau unit tersebut tidak didiami,” katanya.

Kata Annuar lagi, bantuan yang disalurkan secara elektronik dilakukan bermula 4 hingga 15 April ini.

“Setakat ini, kita telah berjaya membuat transaksi kepada kira-kira 6,699 orang membabitkan sejumlah RM6,669,900 melalui transaksi secara elektronik,” katanya.

Bantuan tersebut disalurkan kepada penghuni di Perumahan Awam dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah kelolaan DBKL – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas