Berita

Gegar Vaganza 7 Diteruskan Tanpa Penonton

Emarina Mohd Kamal
- Diterbit 14 Oktober 2020 5:15 AM MYT

DEMI menyahut arahan kerajaan yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, pihak Astro membuat keputusan untuk tetap meneruskan pertandingan nyanyian Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) mengikut rancangan asal.

PENGURUS Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal, konsert yang berlangsung di Pusat Kovensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu tidak akan dihadiri penonton.

“Astro tetap menjalankan konsert GV seperti yang dijadualkan namun tidak akan ada kehadiran penonton pada minggu tersebut, melainkan hanya krew produksi dan tenaga kerja yang berdaftar sahaja,” katanya yang akan mengumumkan situasi semasa jika ada perubahan.

Para peserta GV7 yang terlibat ialah Mus MAY, Yantzen, Cliff Umar, Aju, Oja, Nomad, Noraniza Idris, Rozita Izlyn, Ayu Damit, Linda Nanuwil, Ashira, Haslinda serta dua kumpulan iaitu Eva dan Indigo.

GV kali ini juga masih mengekalkan Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim sebagai juri tetap serta juri jemputan.

GV7 yang bermula siarannya pada 11 Oktober lalu dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC)  serta bersiaran selama 10 minggu di saluran Astro Ria dan Astro Ria HD setiap Ahad, jam 9 malam. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas