Artikel

GEG mesti diluluskan, industri diselar agar tidak pentingkan diri

- Diterbit 10 Mac 2023 2:55 AM MYT

PERTUBUHAN Wanita Malaysia untuk Kawalan Tembakau dan Kesihatan atau MyWATCH menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan sokongan kerajaan terhadap ikhtiar pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam melaksanakan peruntukan larangan merokok kepada generasi yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.

Larangan yang lebih dikenali sebagai Generasi Penamat atau Generational EndGame (GEG) adalah bertepatan untuk melindungi golongan generasi akan datang daripada terjebak dengan kegiatan buruk merokok ini khususnya produk merokok alaf baru seperti rokok elektronik atau vape.

Presiden MyWATCH, Roslizawati Md Ali berkata pihaknya berpendapat sokongan kerajaan terhadap pelaksanaan GEG adalah penting bagi melindungi kanak-kanak dan remaja serta menjadi keutamaan kerajaan demi memastikan Malaysia dapat melahirkan generasi akan datang yang lebih sihat juga produktif.

“Saya merasa sungguh kesal selama ini masalah merokok terutama rokok elektronik dalam kalangan kanak-kanak dan remaja sukar dikawal dan semakin menular.

“Kita boleh nampak dengan jelas anak-anak muda ini tanpa segan silu menggantungkan rokok elektronik di leher mereka. Lebih menjengkelkan lagi apabila mereka dengan bangganya menghembuskan wap rokok elektronik yang kononnya tidak membahayakan kesihatan,” katanya.

Tambahnya, MyWATCH juga menyambut baik pengumuman berkaitan pengenaan duti eksais ke atas produk atau cecair bagi rokok elektronik, namun percukaian semata-mata tanpa kawalan ketat terutamanya terhadap pengiklanan dan promosi rokok elektronik yang semakin meluas akan menyebabkan ia berleluasa tanpa kawalan.

“Ianya mestilah selaras dan mematuhi Artikel 5.3 FCTC (Framework Convention for Tobacco Control atau Rangka Kerja Konvensyen Kawalan Tembakau mengenai Protecting Tobacco Control Policies from Tobacco Industry Interference), apatah lagi Article 13 (Ban on Tobacco Advertising, Promotion and Sponsorship),” jelasnya.

Mengulas kenyataan yang dikeluarkan melalui siaran di BH Online oleh pihak Dewan Perniagaan Vape Malaysia atau MVCC berkaitan cadangan GEG tidak sepatutnya diteruskan kerana ia akan mengharamkan produk vape dalam jangka masa panjang dan akan memberi kesan kepada perniagaan tempatan di Malaysia yang kini bernilai RM2.49 bilion, Roslizawati berkata ia adalah merupakan satu kenyataan yang hanya semata-mata bersifat keuntungan dan mementingkan diri tanpa memikirkan masa depan anak-anak muda generasi akan datang.

“MVCC perlu cakna, sensitif serta prihatin di mana pelaksanaan GEG hanya melibatkan mereka yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya. Kajian yang dijalankan oleh pihak KKM menunjukkan jumlah pengguna rokok elektronik yang tidak tergolong dalam kumpulan generasi ini adalah lebih kurang satu juta orang.

“Oleh itu mana mungkin industri ini akan rugi kerana mereka masih mempunyai klien dengan jumlah yang besar. Lainlah sekiranya kerajaan melarang sepenuhnya penjualan rokok elektronik sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh negara-negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Brunei,” ujarnya kajian juga mendapati beban kesihatan (health burden) jauh mengatasi pendapatan (revenue).

Roslizawati berkata kajian statistik 2020 menunjukkan jumlah kutipan RM2.7 bilion revenue, tidak dapat menampung beban tiga jenis penyakit sebanyak RM6.21 bilion, apatah lagi penyakitpenyakit sampingan merokok keseluruhannya.

“Peningkatan peratusan penggunaan rokok elektronik semakin kritikal, di mana keseluruhan penggunanya dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 17 tahun meningkat daripada 9.8 peratus pada tahun 2017 kepada 14.9 peratus pada tahun 2022.

“Bagi kami, kerajaan tidak boleh menoleh ke belakang lagi. Peruntukan GEG mesti diteruskan, pengenaan duti eksais yang tinggi mesti dilaksanakan dan penguatkuasaan dipertingkatkan. Hanya dengan cara ini kita akan dapat memastikan harga yang tinggi dikenakan dan kemampuan untuk membeli terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja dapat disekatkan (curtailed) dan dikawal selia.

“Sekali lagi pihak MyWATCH menggesa agar Rang UndangUndang kawalan rokok elektronik ini segera dibawa ke parlimen dan diluluskan seterusnya digubal (enacted) dengan segera; manhaj kajian dalam pembentukan masyarakat Madani, ikhtiar yang jelas dan terang untuk melindungi generasi akan datang,” ujarnya yang mengharapkan perkara tersebut dapat disegerakan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas