Berita

APMM teruskan SAR nelayan Indonesia hilang di perairan Labuan

- Diterbit 26 Disember 2022 12:06 PM MYT

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas menyelam ke dalam laut untuk memotong jaring yang tersangkut pada enjin bot, semalam.

Pengarah APMM Labuan Kapten Nudin Jusoh berkata mangsa dikenal pasti sebagai Diniela Rambie, 58, menangkap ikan bersama dua kru dengan menggunakan bot nelayan (trawler) sekitar 5 petang Hari Krismas itu.

“Operasi SAR dilancarkan sebaik sahaja menerima laporan orang hilang daripada rakan mangsa pada hari yang sama, memandangkan dia tidak kembali semula ke bot.

“Mangsa dan seorang lagi anak kapal sedang cuba melepaskan jaring yang tersangkut pada enjin bot, anak kapal itu kembali ke bot tetapi mangsa tidak kembali selepas jaring itu berjaya dilepaskan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Nudin berkata operasi SAR memasuki hari kedua hari ini dengan dibantu petugas daripada Polis Marin, Jabatan Perikanan, bomba dan beberapa bot nelayan.

Beliau turut menasihatkan mereka yang pergi menangkap ikan di laut supaya mengambil langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, memeriksa ramalan cuaca dan memastikan bot dalam keadaan baik.

“Orang awam yang mahu melaporkan mengenai kecemasan atau kemalangan di laut boleh menghubungi talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi APMM Labuan menerusi 087-427999,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas