Berita

Gangguan air di Selangor, Putrajaya, pulih sepenuhnya

- Diterbit 2 September 2021 2:05 AM MYT

BEKALAN air di 463 kawasan yang terjejas akibat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihenti tugas susulan pencemaran bau pada Selasa, pulih sepenuhnya pada pukul 6 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata kawasan berkenaan meliputi wilayah Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat.

“Air Selangor ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengguna atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

“Para pengguna disarankan untuk mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air menerusi semua medium komunikasi rasmi Air Selangor iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas