Berita

Gamelan satukan ‘hati dan jiwa’

- Diterbit 19 Ogos 2020 2:09 AM MYT

ADA sesuatu yang istimewa mengenai diri Dr Jillian Ooi Lean Sim yang membuatkan penulis tidak berputus asa untuk menemu bual beliau.

Berusia 48 tahun dan berasal dari Johor Baharu, saintis dan ahli geografi Universiti Malaya (UM) ini sememangnya mempunyai jadual kerja yang padat. Banyak kali jugalah temu ramah terpaksa ‘ditunda’ kerana beliau sering ke taman laut negara untuk menyiapkan pelbagai kajian marin termasuklah berkaitan pemetaan rumput laut.

Untuk menyiapkan rencana ini, temu ramah saya dengan pensyarah geografi UM ini akhirnya terpaksa dibuat melalui e-mel kerana beliau sudah ke Pulau Rawa, yang terletak di daerah Mersing, Johor, untuk penyelidikan marin bersama pelajarnya sejak akhir Julai lalu.

“Sebaik dapat ‘lampu hijau’ untuk laksanakan kajian luar di pulau semasa PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan), kami bergegas ke sana untuk menyiapkan penyelidikan berkaitan hidupan marin di sana,” jelasnya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Sememangnya, Ooi bukan nama asing dalam dunia hidupan marin khususnya berkaitan dengan rumput laut, iaitu tumbuhan berbunga yang hidup dalam air laut pada kedalaman sehingga 10 meter. Ia kebiasaannya berwarna hijau serta tumbuh di satu kawasan yang dipanggil padang rumput laut ‘seagrass meadow’.

Malah, kepakarannya dalam ekosistem tumbuhan berkenaan yang menghampiri dua dekad turut menarik minat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang popular dengan isu kepentingan penjagaan marin, Kelab Alami Tanjung Kupang dan Reef Check Malaysia untuk melantik wanita ini sebagai penasihat saintifik persatuan berkenaan.

CINTANYA GAMELAN

Di sebalik kesibukan Ooi dengan pelbagai siri lawatan ke taman laut termasuk memproses pelbagai sampel rumput laut, anak pertama daripada dua beradik ini sebenarnya mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang muzik tradisional Melayu iaitu Gamelan.

“Lebih tiga bulan kami tidak dapat buat latihan gamelan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Biasanya, hujung minggu saya bersama pemuzik gamelan kumpulan kami akan membuat latihan di Tropicana Avenue, Kuala Lumpur dari pukul 2 petang sehingga 5 petang.

“Tetapi, sekiranya kami mendapat persembahan untuk jayakan sesuatu konsert, latihan bukan sahaja hari minggu bahkan juga selepas waktu kerja, bermula pukul 7 malam hingga pukul 10 malam. Dan biasanya, masa berlatih pada hari Sabtu dan Ahad, latihan bermula pukul 2 petang hingga 10 malam, ” katanya.

Menariknya, kumpulan gamelan yang dianggotai semua wanita ini, bukanlah sekadar tahap ‘biasa-biasa’ atau hanya menjayakan persatuan universiti semata-mata.

Kumpulan yang diberi nama Rhythm in Bronze (RiB) ini sebenarnya adalah kumpulan gamelan terkenal negara yang banyak memenangi anugerah.

Antaranya, juara untuk pertandingan BOH Cameronian Arts Awards dalam pelbagai kategori termasuk pengarahan muzik terbaik, komposisi terbaik, persembahan vokal terbaik, persembahan berkumpulan terbaik dan nilai produksi terbaik bagi tahun 2004, 2005, 2008, 2012, 2013, 2014 serta 2015.

Selain turut memiliki album sendiri yang dihasilkan pada 2001, ia juga merupakan kumpulan seni tempatan pertama dijemput membuat persembahan di platform berprestij negara, Dewan Filharmonik Petronas pada tahun 2004 di samping sentiasa mendapat peluang menjayakan festival seni antarabangsa seperti di Korea, Indonesia mahupun Eropah.

RiB yang diasaskan oleh seorang etnomusikologi, UM, Sunetra Fernando (SHE) pada tahun 1997 adalah merupakan kumpulan gamelan wanita pertama di Malaysia yang menghimpunkan pelbagai bangsa.

Malah, bukan sekadar Ooi yang fasih berbahasa Melayu dan mempunyai kemahiran hebat dalam memainkan semua alat muzik gamelan seperti saron barung, saron perkin, saron demong, gambang, tetapi semua pemuzik RiB yang meliputi pelbagai bangsa ini turut mempunyai kemahiran serupa.

Setiap pemuzik RiB perlu menguasai kemahiran memainkan semua alat muzik gamelan memandangkan persembahan mereka biasanya menuntut setiap ahli kumpulan untuk menukar posisi mengendalikan instrumen muzik gamelan selepas menjayakan sesebuah lagu.

Biasanya, kumpulan gamelan ini akan mengalunkan lapan hingga 10 buah lagu pada setiap persembahan, berbanding kumpulan gamelan sedia ada yang akan kekal bermain satu instrumen muzik dari awal hingga akhir.

KEINDAHAN GAMELAN

“Pemuzik RiB ada seramai 10 hingga 12 orang dan ia merangkumi pelbagai bangsa, bukan sahaja Melayu tetapi kaum India dan Cina juga ada. Kami tak melihat perbezaan bangsa tetapi menganggap gamelan sebagai medium yang boleh menjalinkan hubungan dan silaturrahim erat antara pemuziknya.

“Pada permulaannya, kami tidak menyedari RiB mempunyai komposisi kaum yang unik bagi sesuatu kumpulan gamelan kerana yang penting bagi kami, seni memartabatkan warisan tradisional Melayu ini.

“Namun, kami menjadi tumpuan sehingga ada menganggap kami sebagai pemain gamelan beridentitikan Malaysia kerana meliputi pelbagai bangsa,” kata Ooi yang juga merupakan pengubah lagu dan pengarah muzik RiB.

Mula meminati alat muzik gamelan ketika berusia 23 tahun selepas tertarik dengan alunan gemaan ‘gong’ semasa mengikuti rakannya membuat latihan seni warisan tersebut di UM, Ooi yang juga mempunyai kemahiran bermain piano akhirnya nekad untuk menguasai budaya tradisional masyarakat Melayu itu.

Dalam hal ini, beliau tidak berhadapan masalah kerana dibesarkan dalam kawasan penempatan pelbagai bangsa. Ooi juga mempunyai rakan karib terutamanya kalangan orang Melayu dan India dan ini memudahkan wanita ini untuk menyelami seni tradisional muzik bangsa lain.

Malah, beliau juga turut berkebolehan memainkan alat muzik kaum India iaitu tabla.

Menurut Ooi, adalah sesuatu yang amat merugikan apabila hidup dalam kepelbagaian kaum namun tidak mengambil peluang mengenali muzik tradisional pelbagai bangsa.

Beliau dan rakan pemuzik RiB bukan berbangsa Melayu berasa sangat bangga kerana dapat menguasai kemahiran bermain gamelan dan dapat bergaul mesra dengan rakan Melayu semasa persembahan.

“Malah, ramai rakan Melayu saya yang tidak berpeluang bermain alat muzik tradisional tersebut berasa gembira apabila melihat bangsa lain membawa seni warisan mereka ke persada antarabangsa.

“Bagi saya, apa yang RiB lakukan ini bukan hanya untuk memartabatkan seni warisan gamelan Melayu tetapi juga membawa nama Malaysia untuk dikenali serta menarik minat anak muda mencintai harta amat bernilai ini supaya ia tidak pupus,” katanya.

GAMELAN KONTEMPORARI

Mengakui alat muzik tradisional seperti gamelan turut berhadapan polemik penyambungan legasi sekiranya tidak ada usaha memartabatkannya, Ooi berkata RiB tampil dengan konsep gamelan Melayu kontemporari berlandaskan suntikan gubahan baharu muzik gamelan tanpa menghilangkan nilai estetika dan tradisi itu sendiri.

“Menurut seorang pakar pengkaji gamelan, banyak lagu gamelan sudah hilang. Difahamkan sebelum ini, ada 77 buah lagu tetapi selepas dibuat kajian didapati banyak yang telah hilang dan tinggal kurang daripada 50 buah lagu saja.

“Disebabkan itu, kita selalu mendengar muzik gamelan lagu sama seperti Timang Burung, Ayak-Ayak, Seri Rama Balik dan kita bimbang ini akan membuatkan generasi muda cepat bosan.

“Jadi, dengan kemahiran dimiliki, kami cuba menggubah lagu baru dan ia mendapat sambutan menggalakkan. Ramai generasi muda mula minat belajar,” katanya yang turut memberitahu bahawa RiB juga membuka kelas kepada mereka yang ingin mempelajari seni warisan berkenaan.

Bagaimanapun, kejayaan RiB dalam memartabatkan seni muzik gamelan supaya tidak dimamah waktu tidak akan berhasil tanpa adanya didikan sepenuhnya daripada pelbagai guru termasuklah yang berbangsa Melayu seperti Pak Othman Abdullah dan arwah Dr Ariff Ahmad.

Tanpa ada istilah diskriminasi, mereka mengajar sehabis baik terhadap wanita ini serta pemuzik RiB lain yang bukan berbangsa Melayu untuk menguasai kemahiran seni muzik tersebut. Dan hari ini, segala keringat mereka membuahkan hasil serta turut bangga dengan kejayaan RiB di persada antarabangsa.

Semua ini adalah hasil daripada nikmat perpaduan yang kita rasai selama ini, jelas Ooi.

PENYATUAN JIWA

Tanpa disedari, lima prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan Dan Kesusilaan – yang bermatlamat mencapai perpaduan lebih erat kalangan rakyat, sebenarnya sudah lama diterjemahkan menerusi muzik gamelan.

“Semasa kami menjayakan persembahan gamelan, kami tidak bergantung pada skor muzik tetapi bermain mengikut ‘angin’ bersama.

“Kalau bermain sekadar ikut skor muzik, sebenarnya semua boleh main tetapi tidak apabila kami mengikuti ‘angin’ iaitu kesefahaman dan kemahiran mentafsirkan alunan muzik gamelan menerusi interaksi mata serta bahasa badan, ” katanya.

Ooi menjelaskan, bagi RiB, kesefahaman antara pemain sangat penting dan ia terhasil hanya menerusi keakraban dan nilai perpaduan yang terjalin antara semua anggota.

“Salah faham yang berlaku antara pemuzik gamelan memang boleh menjejaskan keharmonian persembahan muzik gamelan.

“Sebenarnya, alat muzik gamelan atau mana-mana alat muzik tradisional sesuatu bangsa wajar dijadikan medium penyatuan masyarakat berbilang kaum. Ini kerana budaya pada seni muzik tradisional pelbagai bangsa sangat membantu kita untuk lebih memahami dan mengenali sesuatu kaum,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas