Berita

Tiga dekad berlalu, aura jersi kebangsaan masih dirasai Chin Aun

- Diterbit 19 Ogos 2020 2:16 AM MYT

LEBIH tiga dekad sudah berlalu, namun memori dan aura setiap kali menyarung jersi kebangsaan masih segar dalam ingatan legenda bola sepak Malaysia, Datuk Soh Chin Aun.

Mana tidaknya, pada era beliau, mewakili negara bukan perkara mudah dan ia menjadi satu kebanggaan buat setiap pemain Malaysia, yang ketika itu digeruni oleh gergasi Asia seperti Jepun dan Korea Selatan, terutama dalam saingan bola sepak tertua Asia, Pestabola Merdeka.

“Memang susah hendak mewakili negara dan bukan semua orang dapat, kena bekerja keras dan banyak berkorban untuk dapat tempat dalam pasukan. Ia satu kebanggaan, setiap kali memakai jersi kebangsaan dengan lencana negara di dada, bulu roma akan naik, ianya satu perasaan tidak dapat dilupakan,” katanya kepada Bernama.

Chin Aun, 70, yang dikenali sebagai ‘tauke’ kerana ketegasan dan kepimpinannya di dalam padang, adalah satu-satunya pemain yang membantu negara layak ke dua Sukan Olimpik, iaitu Sukan Olimpik Munich 1972 dan Moscow 1980.

Pada edisi 1972, ketika berusia 23 tahun, pemain kelahiran Alor Gajah itu membantu skuad negara menewaskan Amerika Syarikat 3-0, namun gagal melepasi peringkat Kumpulan A apabila tewas 0-3 kepada tuan rumah, Jerman Barat pada pembukaan Olimpik dan 0-6 kepada Morocco, sekali gus menamatkan saingan di tempat ke-10 daripada 16 pasukan terbaik dunia ketika itu.

Beliau mengetuai pasukan negara untuk layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 – kali terakhir Malaysia layak ke temasya terbesar dunia itu, namun, Malaysia memboikot temasya berkenaan sebagai bantahan kepada pencerobohan rejim Kesatuan Soviet terhadap Afghanistan.

Chin Aun yang mewakili negara dari 1969 hingga 1984, membentuk kubu pertahanan negara yang kebal bersama-sama gandingan Datuk Santokh Singh, Datuk Namat Abdullah, mendiang Datuk M. Chandran dan Harun Jusoh untuk meraih pingat gangsa Sukan Asia 1974 di Tehran, Iran.

Ia menyamai pencapaian terbaik negara selepas meraih gangsa pertama pada Sukan Asia 1962 di Jakarta.

Ditanya mengapa pemain pada masa ini sukar mencapai kejayaan di peringkat tinggi seperti eranya, Chin Aun yang pernah beraksi untuk pasukan Selangor (1970-1980) dan Melaka (1981-1989) berkata terlalu banyak perkara seperti hiburan, gajet dan gaji yang tinggi sering mengganggu fokus pemain zaman ini.

“Dulu tidak ada apa-apa, kami hanya bermain bola, sekarang ada banyak hiburan. Kami kerja separuh masa dan bermain bola, berbanding pemain sekarang yang profesional (pemain sepenuh masa).

“Elaun latihan sebagai pemain pun hanya RM10 sehari, manakala gaji dari majikan pun tidak banyak (sepenuh masa) dalam RM200-300, tapi cukup untuk tampung kehidupan kerana kos sara hidup pun rendah.

“Saya harap pemain muda sekarang bekerja keras dan tunjukkan semangat juang yang tinggi untuk memartabatkan maruah negara di persada antarabangsa,” katanya.

Chin Aun yang menjadi kapten skuad negara dari 1975 hingga 1984, turut berasa sedih kerana masih wujud sentimen perkauman di negara ini, yang mana perpaduan jelas lebih baik pada zamannya bergelar pemain. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas