Berita

Frontliners, media diberi keutamaan beli unit Residensi Prihatin

ANNUAR melihat perancangan pembinaan unit Residensi Prihatin di Presint 11, Putrajaya.
- Diterbit 22 Februari 2021 8:31 AM MYT

PETUGAS barisan hadapan yang terdiri daripada pasukan keselamatan dan anggota kesihatan termasuk kakitangan media diberikan keutamaan untuk memohon unit Residensi Prihatin.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, keutamaan itu diberikan kepada pemohon yang masih belum memiliki rumah.

“Frontliners (barisan hadapan) termasuk media jika mereka memohon mereka akan dapat prioriti, mereka (mestilah) yang belum memiliki rumah.

“Ia untuk menggalakkan orang muda memiliki rumah. Pemilikan dikaitkan dengan soal pendapatan, yang ini kita mahu galakkan,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Residensi Prihatin di Putrajaya secara maya hari ini.

Menurut Annuar, kriteria pemohon juga diringankan iaitu individu berumur 18 tahun dibenarkan memohon berbanding had usia 21 sebelum ini.

Jelas beliau, ia disebabkan individu terbabit dilihat mampu menyewa rumah yang berharga RM500 hingga RM800 sebulan.

“Sekarang 18 tahun sudah boleh (mohon) apabila mereka berkemampuan bayar sewa atau ibu bapa mereka sebagai penjamin kedua untuk beli.

“Lagi muda, lagi awal beli… lagi kita galakkan. Dengan demikian kita tidak perlu melihat ‘keluarga muda’ menghabiskan pendapatan mereka dengan menjadi penyewa,” katanya.

Sebanyak 12,000 unit Residensi Prihatin akan dibina di Putrajaya dan ia sudah mendapat kelulusan kerajaan untuk dibangunkan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas