Berita

COVID-19 Collective for Orang Asli beri manfaat kepada: 5,585 keluarga

- Diterbit 22 Februari 2021 7:57 AM MYT

SEBANYAK 5,585 keluarga Orang Asli di enam negeri menerima manfaat daripada inisiatif  COVID-19 Collective for Orang Asli melalui geran RM1 juta yang disalurkan oleh Z Zurich Foundation, sejak Mei 2020.

Wang yang disalurkan menerusi Epic Society itu digunakan dalam enam bidang tumpuan, iaitu  bantuan makanan dan kit pembersih diri; kesedaran kesihatan dan kebersihan diri; pendidikan; sekuriti makanan; pemerkasaan sosioekonomi serta geran bantuan dan pemulihan.

Menurut kenyataan bersama Epic Society dan Zurich Malaysia hari ini, inisiatif COVID-19 Collective for Orang Asli merupakan program serampang dua mata yang meliputi 78 perkampungan.

“Aktiviti bantuan bermula pada Mei 2020 yang disusuli dengan pelaksanaan program bantuan penjagaan kesihatan dan perubatan asas bagi meningkatkan tahap pengetahuan kesihatan dalam kalangan Orang Asli,” demikian menurut kenyataan itu.

Program menampilkan pendidikan berhubung kebersihan tangan bagi kanak-kanak, kem perubatan serta bengkel kesedaran COVID-19.

Menurut kenyataan itu, pembukaan sebuah ladang ayam di Selangor serta 10 reban ayam di Johor selain membimbing Orang Asli untuk menguruskannya adalah antara objektif bagi menggalakkan pembangunan lestari dengan mempelbagaikan sumber pendapatan mereka atau mengembangkan perniagaan kecil-kecilan yang dijalankan oleh komuniti itu.

Pengarah Eksekutif Zurich Holdings Malaysia Berhad Stephen Clark berkata setakat ini 30 peratus daripada geran sudah dibelanjakan untuk bantuan makanan dan kit pembersih diri manakala baki akan disalurkan ke arah pemerkasaan sosioekonomi.

“Kami yakin keazaman kami untuk menyokong perkembangan sosioekonomi dalam kalangan Orang Asli akan menjana hasil positif terhadap daya tahan komuniti itu semasa dan selepas penularan pandemik,” katanya.

Sementara itu, Presiden Epic Society John-Son Oei berkata inisiatif COVID-19 Collective for Orang Asli meneruskan program pemulihan yang turut merangkumi penubuhan hab pembelajaran komuniti serta pemasangan sistem pengumpulan air hujan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas