Berita

‘Table Med’ cegah penyakit kronik

NOR Hisham (tengah) bergambar bersama anggota Sihat 18 yang menjadi juara pertandingan sempena Karnival Inovasi dan Kualiti DBKL 2019 di Institut Latihan DBKL, Kuala Lumpur baru-baru ini.
- Diterbit 7 November 2019 9:40 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]
Foto Ihsan DBKL

KUALA LUMPUR – Hasil idea inovasi menghasilkan program meningkatkan kesedaran mencegah penyakit kronik membawa tuah kumpulan Sihat 18 dari Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) apabila mereka muncul juara pertandingan sempena Karnival Inovasi dan Kualiti 2019 anjuran DBKL baru-baru ini.

Kemenangan itu membolehkan mereka membawa pulang hadiah bernilai RM5,000.

Ketua kumpulan Sihat 18, Dr. Shariza Natasha Hariri berkata, produk inovasi yang dihasilkan itu adalah berbentuk program meningkatkan kesedaran dalam kalangan kakitangan DBKl mengenai penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi.

“Inovasi ‘Table Med’ yang memberikan maklumat lengkap mengenai pemakanan dan penyakit buah pinggang berserta kesan-kesan sekiranya tidak mengambil langkah awal mencegah penyakit tersebut,’’ katanya setelah Majlis Perasmian Penutup karnival tersebut di Institut Latihan DBKL di sini baru-baru ini.

Menurut Shariza, kumpulannya turut memperkenalkan prototaip kedua dinamakan video My Kidney Alert 360 yang memaparkan pengalaman sebenar pesakit kencing manis dan darah tinggi yang berakhir dengan rawatan hemodialisis.

“Data klinik dan laporan kewangan yang diperoleh menunjukkan bilangan pesakit kencing manis, darah tinggi dan masalah buah pinggang dalam kalangan kakitangan DBKL mencatatkan peningkatan. Keadaan itu telah meningkatkan perbelanjaan rawatan kesihatan,” katanya.

Terdahulu Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, hasil program inovasi DBKL perlu dimanfaatkan untuk kebaikan warga kota selain memudahkan urusan pentadbiran jabatan-jabatan berkaitan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas