Berita

Fokus atasi kemiskinan bandar

MASALAH kemiskinan bandar perlu ditangani secara holistik. - Gambar hiasan
MASALAH kemiskinan bandar perlu ditangani secara holistik. - Gambar hiasan
- Diterbit 4 Julai 2019 5:50 AM MYT

Oleh HELMI MOHD. FOAD
[email protected]

PUTRAJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan akan mencari jalan penyelesaian yang menyeluruh bagi menangani masalah ke­miskinan bandar terutama di ibu kota.

Menterinya, Khalid Abd. Samad yang menyifatkan perkara tersebut agak meruncing berkata, pihaknya berusaha mengerakkan semua agensi di bawah kementerian untuk mencari penyelesaian ter­utama menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan miskin di bandar.

Usaha tersebut menjadi antara fokus utama beliau dalam menerajui kementerian ter­babit.

“Seperti mana dinyatakan makanan tidak cukup, ada kanak-kanak yang pertumbuhannya terbantut dan sebagainya. Ini adalah isu yang perlu kita peka dan cari penyelesaian.

“Kita ada beberapa kaedah yang kita usahakan, kalau tidak dapat selesaikan semua kita tangani dalam 20 hingga 30 peratus masalah tersebut, misalnya tidak dapat bayar sewa rumah, makanan tidak cukup dan tidak ada pekerjaan, ini semua kita cuba mencari penyelesaian dengan membantu mereka memberikan kerja dan kemudahan seperti mikro kredit yang sedang kita usahakan untuk warga Wilayah Persekutuan,’’ katanya dalam wawancara sempena setahun menerajui kementerian ter­babit sejak 1 Julai tahun lepas di sini baru-baru ini.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, kementerian sedang bekerjasama dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menganjurkan satu seminar antarabangsa berkaitan kemiskinan bandar pada September ini.

“Kita akan membawa pakar dari India dan Filipina iaitu mereka yang mempunyai pengalaman dalam menangani kemiskinan bandar.

“Masalah kekurangan nutrisi ada hubung kait dengan kemiskinan bandar. Bagi kementerian, masalah kemiskinan bandar adalah isu besar yang perlu ditangani dan kita perlu dapat (kongsi) pengalaman dan pandangan daripada pihak luar untuk cari penyelesaian,’’ katanya.

Akui beliau, memang sebelum ini ada usaha pihak NGO seperti Food Bank dan bawakan makanan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) namun masalah sebenarnya sekarang ialah bagaimana mendapatkan pekerjaan untuk mengatasi kemiskinan.

“Antaranya beri pekerjaan kepada mereka yang mempunyai tunggakan bayaran sewa di PPR. Apa kita buat ialah beri pekerjaan seperti jadi kakitangan pembersihan di PPR mereka. Dengan bayaran bulanan, mereka dapat bayar sewa dan tunggakan serta atasi kekurangan makanan.

“Kita juga ada mikro kredit dan projek kebun bandar. Kita cari pendekatan beri peluang kepada penduduk B40 untuk berdikari. Jadi masalah pelajar ponteng sekolah kerana bantu ibu bapa akan dapat diatasi,’’ katanya.

Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) tahun lalu memberikan gambaran yang lebih kritikal khususnya melibatkan golo­ngan miskin bandar.

Berdasarkan kajian itu, tinjauan daripada 17 PPR di sekitar Kuala Lumpur mendapati masalah kemiskinan bandar berkait rapat dengan masalah kekura­ngan zat makanan dalam ka­langan kanak-kanak iaitu seba­nyak 10 peratus kanak-kanak menikmati kurang daripada tiga hidangan sehari.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas