Berita

Flat PPR, PA bakal tampil lebih ceria, kemudahan diperbaiki

Parlimen Wangsa Maju adalah penerima jumlah projek terbanyak iaitu 20 projek daripada semua kategori
FLAT PPR lebih ceria apabila dicat baharu. Gambar hiasan
- Diterbit 21 Mei 2020 6:43 AM MYT

PUTRAJAYA – Peruntukan dana sejumlah RM40 juta bagi memperbaiki Projek Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan Awam (PA), Perumahan Kos Rendah dan Sederhana Rendah yang diumumkan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa semalam sudah pasti akan memberikan keselesaan kepada penduduk di kawasan terbabit.

Kerja-kerja pembaikan itu bakal memberikan wajah baharu kepada flat PPR, PA dan rumah kos rendah berkenaan yang sebelum ini kelihatan kusam dan beberapa kemudahan lain dapat diperbaharui.

Ini berikutan penumpuan projek ini lebih kepada memperbaiki struktur serta kemudahan fizikal di perumahan PPR, PA, flat kos rendah serta sederhana rendah berdasarkan permohonan yang dibuat oleh penduduk melalui Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC).

Annuar berkata, peruntukan di bawah Projek Rangsangan Ekonomi 2020 Tabung Penyelenggaraan Wilayah Persekutuan (TPWP) kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Labuan (PL) itu juga dapat membantu memulihkan kedudukan kewangan kontraktor kelas G1 dan kontraktor kelas G4 yang turut terjejas akibat wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

“Daripada jumlah peruntukan tersebut, sebanyak RM38.5 juta telah disalurkan kepada DBKL melibatkan 54 kawasan di WP Kuala Lumpur dengan 81 kontraktor G1 yang dilantik melalui proses undian dan 34 kontraktor kelas G4 yang dilantik melalui proses tender.

“Sebanyak RM1.5 juta pula disalurkan kepada PL melibatkan tiga kawasan di WP Labuan dengan pelantikan 12 kontraktor yang terdiri daripada 10 kontraktor G1 melalui proses undian dan 2 kontraktor G2 melalui proses perolehan secara sebutharga,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Annuar berkata, pelaksanaan projek TPWP akan bermula pada pertengahan bulan ini dan dijadualkan siap sepenuhnya pada Oktober 2020.

“Pelaksanaan projek ini sekali gus akan merangsang semula ekonomi negara yang terkesan ekoran pendemik Covid-19,” katanya.

Beliau menyatakan, Parlimen Wangsa Maju adalah penerima jumlah projek terbanyak iaitu 20 projek daripada semua kategori yang melibatkan Kondominium Setapak Ria, Rumah Pangsa Kawasan 2A, 2B, 4A, 4B, 5A, 5B, 5C, 8, 9, Winner Court A dan Taman Melawati 2B.

“Projek-projek di Parlimen ini melibatkan kerja-kerja mengecat dan mengganti bumbung, membaiki atau mengganti tangki air serta sistem retikulasi, membaiki atau mengganti tangga serta susur tangga, kerosakan am dan pembinaan pagar,” katanya.

Sementara itu, di Parlimen Seputeh sebanyak enam projek bakal dilaksanakan membabitkan kerja- kerja mengecat dan membaiki atau mengganti tangga dan susur tangga.

Katanya, lokasi-lokasi terlibat adalah Kuchai Entrepreneurs Park Fasa 1B, Kuchai Entrepreneurs Park Fasa 1A, Kuchai Entrepreneurs Park Fasa 2, Pangsapuri Sri Bandar Besi, KEP LMC Apartment dan KEP LC Flat yang merangkumi kerja-kerja mengecat, membaiki atau mengganti tangga
serta susur tangga.

Parlimen Titiwangsa pula katanya, terdapat dua projek iaitu projek mengecat bagi Apartment Delima J dan projek membaiki serta mengganti bumbung Apartment Seri Murni Fasa 2 manakala di Parlimen Setiawangsa terdapat tiga projek iaitu projek mengecat, membaiki dan mengganti bumbung yang melibatkan Menara Rajawali, Pangsa Murni, Menara Cenderawasih AU3 dan Menara Merak Kayangan.

“Terdapat dua projek di Parlimen Batu iaitu mengecat, membaiki dan mengganti bumbung di Apartment Seri Murni Fasa 2 manakala di Parlimen Segambut, terdapat enam projek iaitu mengecat, membaiki atau menganti tangki air dan sistem retikulasi serta kerosakkan am bagi Taman Kepong Indah Fasa 1, Taman Kepong Indah Fasa 3A, Taman Kepong Indah Fasa A, EPRP Kos Sederhana, Taman Jinjang Baru, Apartment Bukit Sri Bintang dan Pangsapuri Kos Rendah AC4,” katanya.

Sementara itu, Annuar berkata, terdapat tujuh projek di Parlimen Lembah Pantai bagi kerja-kerja mengecat, membaiki atau menganti bumbung, membaiki atau menganti tangki air dan sistem retikulasi serta membaiki tangga dan susur tangga.

Lokasi projek merangkumi Pangsapuri KosRendah AC4, Pangsapuri Suci, Taman Bukit Angkasa blok 9-16-18, blok 9-16-19 dan blok 9-16-20, katanya.

“Parlimen Cheras mempunyai tiga projek iaitu membaiki atau menganti bumbung, membaiki atau menganti tangki air dan sistem retikulasi serta kerosakan am merangkumi Taman Seri Bahtera blok A,B,C dan D.

“Bagi Parlimen Bandar Tun Razak, terdapat 3 projek kerja-kerja membaiki atau menganti bumbung dan membaiki atau menganti tangki air serta sistem retikulasi di Pangsapuri Kasturi dan Pangsapuri Blok 1 dan 3 Taman Bukit Cheras,” kata beliau.

Tambahnya, bagi WP Labuan pula terdapat tiga projek pembaikan kerosakan am yang melibatkan Taman Mutiara Blok L dan M serta Perumahan Awam Taman Sungai Bedaun.

“Saya berharap projek TPWP ini dapat membantu kontraktor kelas G1 dan G4 di Wilayah Persekutuan untuk ‘back to track’ serta beroperasi seperti sebelum ini dan seterusnya dapat membantu mewujudkan persekitaraan yang selesa, kondusif dan berdaya huni bagi penduduk di Wilayah Persekutuan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas