Berita

Fitnah jual tanah DBKL, Annuar saman MP Cheras

- Diterbit 19 November 2020 6:32 AM MYT

DAKWAAN Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai bahawa terdapat 42 aset milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah dijual, sepanjang tempoh Tan Sri Tpr Annuar Musa menjawat Menteri Wilayah Persekutuan, merupakan satu tuduhan berat dan serius.

Annuar menyifatkan, tohmahan yang turut disiar portal berita Malaysiakini itu, sebagai sangat berbaur fitnah dan menjejaskan reputasi dirinya selain reputasi DBKL.

“Yang Berhormat (YB) Cheras telah buat dakwaan serius, sekiranya dakwaan itu benar bahawa sepanjang saya jadi Menteri, sebanyak 42 aset bandaraya dijual.

“Tuduhan dibuat berat dan serius, saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah mengikut kaedah sedia ada,” katanya dalam Sidang Media di Parlimen, hari ini.

Menurut Annuar, setelah membaca komen dalam Facebook dan Instagram, masyarakat di luar telah pun melemparkan pelbagai celaan dan tohmahan kepadanya berpunca daripada kenyataan Kok Wai kononnya selama lapan bulan menjadi Menteri, sebanyak 42 eset atau tanah bandaraya dijual.

Tegasnya, sehingga saat hari ini, beliau tidak pernah menerima sebarang permohonan daripada DBKL menyatakan untuk menjual mana-mana aset mereka.

Selain berasa kecewa, beliau turut merasa sangat dukacita dengan dakwaan Ahli Parlimen yang telah begitu lama berperanan sebagai MP, menyerang MP yang lain.

“…mereka boleh bertanya dalam Parlimen (mengenai isu itu) dan bila tindakan di luar Parlimen, ia tertakluk kepada undang-undang tertentu.

“Saya sudah meminta peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau (Kok Wai) mengikut jalur dan proses sedia ada kerana saya memandang serius tuduhan seperti ini. Sepanjang menjadi Menteri saya belum pernah terima apa-apa permohonan untuk jual,” ujarnya.

Menurut pandangan Annuar, DBKL tiada keperluan untuk menjual mana-mana aset mereka kecuali atas sebab-sebab kukuh yang perlu diteliti.

Katanya, dalam pembentangan Belanjawan 2021 baru-baru ini pun, DBKL tidak diberi peruntukan untuk menjalankan program-program pembangunan misalnya berkaitan Council Home dan rumah mampu milik berkos rendah yang sangat diperlukan dalam Kuala Lumpur ketika ini.

“Jika bandaraya hendak buat perumahan dengan subsidi bersilang, dengan tidak ada guna dana kerajaan, mereka boleh moneytise kaedah yang ada, tetapi perlu ikut SOP tertentu bagi memastikan tidak ada isu integriti atau kerugian berlaku.

“Setakat ini, belum ada perkara sedemikian dan tidak perlu saya ulas lanjut, kenyataan Kok Wai sangat berbaur fitnah dan menjejaskan reputasi saya, reputasi DBKL dan ia tuduhan berat dan serius…saya tidak teragak-agak ambil tindakan mahkamah mengikut kaedah sedia ada,” tegas Annuar. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas