Utama

Tuduhan Pengerusi PAC terhadap YWP tidak benar- Annuar

- Diterbit 19 November 2020 5:30 AM MYT

TUDUHAN beberapa pihak berkenaan pengurusan dan fungsi Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) perlu diperjelaskan sewajarnya supaya tiada isu berbangkit sehingga menjejaskan kepentingan ramai, kata Tan Sri TPr Annuar Musa.

Menteri Wilayah Persekutuan menjelaskan, dakwaan kononnya wujud konflik kepentingan (conflict of interest) antara Datuk Bandar Kuala Lumpur dengan YWP adalah tidak benar, malah Datuk Bandar bukan Ahli Pemegang Amanah kepada YWP.

Beliau berkata, jika dahulu iaitu sebelum tahun 1999, bermungkinan Datuk Bandar masa itu pernah menjadi Ahli Lembaga dan isu tersebut sepatutnya telah diselesaikan menteri sebelum ini jika berasa ada perkara tidak kena.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini ada 22 bulan (mentadbir kerajaan) dan ini kes simple sahaja, patut diselesaikan.

“Pada hemat saya, perkara itu tidak berlaku kerana tidak ada masalah seperti yang dinyatakan. YWP bukan agensi kerajaan, malah bukan milik kerajaan, sebaliknya YWP Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) tidak ada menerima dana kerajaan mahupun bajet kerajaan,” katanya dalam Sidang Media di Parlimen, hari ini.

Sidang media tersebut bagi menjelaskan beberapa isu berbangkit berhubung laporan dibentang oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), baru-baru ini.

Pengerusinya, Wong Kah Wong sebelum ini dilaporkan berkata, PAC mendapati pengurusan YWP yang terlibat dalam urusan pembelian tanah DBKL terdedah kepada konflik kepentingan memandangkan Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur turut memegang jawatan sebagai Pengerusi dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP.

Menurut Annuar, YWP yang ditubuhkan sebagai NGO di bawah daftar syarikat dan tata kelola pentadbirannya adalah bergantung kepada memorandum dan artikel yang diluluskan.

“Setakat yang saya teliti, dalam MMA YWP, Datuk Bandar Kuala Lumpur bukan pemegang jawatan dalam yayasan itu, jadi tidak timbbul conflict of interest antara kedua-duanya.

“Saya mangambil sudut positif dan meneliti perakuan yang dibuat PAC dan saya bersedia untuk menambah baik jika ia bersesuaian dengan undang-undang dan peraturan, sudah tentu kerajaan tidak boleh pergi overboard, kerajaan tidak boleh jadikan NGO sebagai Badan Berkanun kecuali jika ia ditubuhkan oleh kerajaan,” jelasnya.

Annuar turut menegaskan, peranan YWP sangat baik yang mana ratusan ribu rakyat di Wilayah Persekutuan telah menerima manfaat.

Sebagai contoh katanya, sepanjang mendepani penularan pendamik Covid-19, ribuan warga Kuala Lumpur telah pun menerima bantuan, selain sumbangan kepada mangsa semasa banjir kilat, ratusan keluarga dibantu yayasan itu.

“YWP sebagai NGO menjadi compliment untuk bantu kerajaan, pemohon rumah di Kuala Lumpur yang tak mampu beli rumah, mereka belikan dan disewa pajak kepada pemohon yang tidak layak mendapat pinjaman bank.

“Jadi YWP sepatutnya wujud dalam bentuk yang sedia ada, asalkan ia tidak bercanggah dengan undang-undang,” katanya. OLEH SYAHIDI BAKAR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas