Atlet Wilayah

Fiross impi ke peringkat antarabangsa

MUHAMMAD FIROSS meraikan kejayaan selepas berjaya memperbaharui rekod catatan masa peribadinya ketika Kejohanan Commonwealth Youth Games.
- Diterbit 24 Ogos 2023 8:00 AM MYT

BARU berusia 17 tahun, ­namun atlet olahraga Wilayah Persekutuan, Muhammad Fiross Mohd Faizal, 17, merupakan antara atlet ­muda dilihat memiliki potensi yang boleh digilap untuk menyinari dunia olahraga.

Hampir tujuh tahun ­mendapat pendedahan dalam dunia ­olahraga, atlet muda yang mesra disapa Fiross ini meletakkan sasaran ­untuk mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

“Untuk ke arah itu, saya perlu lebih bersiap sedia dan melakukan banyak latihan agar penampilan semasa pemilihan itu nanti akan memberi kejayaan luar biasa ­kepada saya.

“Saya akan berusaha ­bersungguh-sungguh kerana ­setiap kali memperolehi ­kemenangan, secara tidak langsung ia juga ­merupakan kejayaan bagi negara Malaysia.

“Harapan saya dalam sukan ­olahraga ini tinggi kerana saya ­mahu pergi ke pentas ­antarabangsa,” jelasnya yang berjaya meraih ­tempat kelima dengan catatan masa 13.69 saat menerusi ­acara 110 ­meter lari berpagar dalam Kejohanan Commenwealth Youth Games ­pada 2 sehingga 13 Ogos ­lalu di Trinidad and Tobago.

Dalam masa sama, Fiross ­berkata selagi apa yang ­dicita-citakan tidak tercapai, dia tidak mahu terlalu cepat meletakkan diri dalam zon selesa.

“Walau bagaimanapun ­alhamdulillah sejak kecil lagi, saya lihat perjalanan dalam dunia ­sukan olahraga ini mudah,” ujar ­atlet kelahiran Wilayah Persekutuan Putrajaya ini.

Selain itu, pelajar Sekolah Sukan Malaysia Pahang ini ­memaklumkan dia memiliki cara tersendiri ­untuk mengekalkan fokus ketika berolahraga.

“Setiap orang mempunyai cara yang tersendiri. Bagi saya, ­antara kunci utama adalah tidur yang secukupnya selama tujuh hingga ­lapan jam, mengamalkan pemakanan yang seimbang serta latihan fizikal untuk lebih cergas,” ujarnya yang menjadikan atlet ­olahraga Malaysia, Rayzam Shah Wan Sofian sebagai idola kerana ­tahap kecergasan yang dimiliki.

Sudah sebati dalam sukan ­olahraga sejak berumur 10 tahun, namun anak kedua daripada enam orang adik-beradik ini enggan mempertaruhkan masa hadapan demi sukan semata-mata.

“Buat masa sekarang, saya menumpukan sepenuh ­perhatian terhadap ­persekolahan ­memandangkan saya akan ­menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Disember 2023. Saya tidak mahu ­mensia-­siakan peluang sekali gus mendapat ­pekerjaan yang ­bagus,” ujarnya yang ­ingin melayakkan ­diri ke temasya Sukan Olimpik dan ­menyumbangkan emas sebagai hadiah kepada keluarga.

Tambah Fiross lagi, dia kini ­sedang giat melakukan persiapan bagi menghadapi Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) yang bakal ­diadakan Oktober ini.

“Saya menjalani latihan ­sebanyak enam kali seminggu ­bersama ­jurulatih, Mohd Saiful Baktia ­untuk menambah speed ­endurance di pagar yang ketujuh ­sehingga ke garisan penamat ­supaya ­dapat mengekalkan kelajuan saya di blok permulaan,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas