Berita

Filem ‘Roh’ wakili Malaysia ke OSCARS ke-93

- Diterbit 4 November 2020 7:31 AM MYT

FILEM ‘Roh’ dipilih mewakili Malaysia ke Anugerah Academy ke-93 (OSCARS) dalam kategori International Feature Film Award yang akan berlangsung pada bulan April depan.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam satu kenyataan memberitahu pemilihan filem ‘Roh’ terbitan syarikat produksi Kuman Pictures Sdn Bhd itu dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Filem Finas yang terdiri daripada para penggiat industri filem tempatan yang profesional dan berpengalaman.

Menurutnya pemilihan telah melalui proses penilaian terperinci berdasarkan kriteria perfileman seperti pengarahan, penceritaan, sinematografi, lakon layar, lakonan, adunan muzik, skor muzik, penataan seni dan suntingan filem serta pematuhan kepada peraturan pertandingan yang ditetapkan oleh pihak penganjur OSCARS.

Finas melalui Jawatankuasa Pemilihan Filem telah membuka penyertaan kepada penggiat industri perfileman tempatan untuk menghantar karya masing-masing untuk dipertimbangkan bagi mewakili Malaysia ke anugerah OSCARS ke-93 bagi kategori International Feature Film Award dan ia menerima penyertaan yang amat memberangsangkan.

Sejak 2004 Finas mencalonkan satu karya filem tempatan untuk bertanding di anugerah OSCARS dalam kategori International Feature Film Award kerana setiap negara diminta menghantar satu pencalonan filem tempatan terbaik untuk bertanding dalam kategori itu.

“Filem ‘Roh’ meneruskan kesinambungan ini bagi edisi OSCARS ke-93 nanti,” kata Finas.

‘Roh’ adalah filem seram yang mengisahkan kehadiran seorang kanak-kanak perempuan aneh yang membawa ramalan ngeri dan kejadian aneh kepada sebuah keluarga miskin dalam hutan zaman dahulu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas