Berita

Fikirlah: Kuasa laporan rakyat mampu tangani isu rasuah, jenayah

- Diterbit 1 September 2020 2:21 AM MYT

HANYA dengan dua klip video yang tular di laman Facebook (FB), akhirnya rahsia kegiatan perjudian dan penjualan rokok seludup di sekitar Sungai Buloh berjaya dibongkar dan ditumpaskan. Hebat!

Klip video yang direkodkan pemilik akaun FB Hot Burger Malaysia itu jugalah yang membuatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak menahan sembilan pegawai dan anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) termasuk seorang berpangkat ketua jabatan baru-baru ini.

Mereka yang ditahan menerusi satu operasi khas juga dilaporkan dikenakan tindakan penggantungan tugas.

Media melaporkan kesemua mereka ditahan kerana dipercayai mengutip dan menerima rasuah secara bulanan bagi melindungi premis perniagaan termasuk pusat perjudian yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen di Sungai Buloh, Selangor.

Dalam isu ini, pujian seharusnya diberikan kepada pembongkar rahsia sindiket ini sendiri iaitu Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid atau dikenali sebagai Asri Janggut.

Beliau sanggup membahayakan nyawanya sendiri demi merekodkan video yang tular di media sosial yang disusuli tindakan SPRM melakukan operasi memberkas mereka yang terbabit.

Penulis sendiri ada menonton salah satu video dirakam Mohd Asri itu dan masih terngiang-ngiang di telinga suara Mohd Asri yang melahirkan risau beliau tentang ancaman yang mungkin diterima kerana pendedahan yang dibuatnya.

“Sebenarnya buat video ini satu bahaya untuk diri saya, dan kemungkinan saya akan dibunuh oleh tauke-tauke judi ini”, begitu kata Mohd Asri.

Mungkin berpegang kepada “Berani Kerana Benar” membuatkan beliau nekad membuat pendedahan sebegitu di saat orang lain di sekeliling kawasan perjudian dan penjualan rokok seludup itu, bagaikan tidak mampu atau mahu melakukan apa-apa tindakan.

Ini sudah tentu satu tindakan bermoral yang wajar diteladani masyarakat kerana kita sebagai penduduk setempat perlu melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mendapati kewujudan kegiatan salah laku dan jenayah.

Namun begitu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum ini dilaporkan berkata orang ramai perlulah menggunakan saluran yang betul melaporkan sebarang aktiviti jenayah bagi mengelak keselamatan diri mereka terancam.

Hamzah menjelaskan, tindakan membuat laporan menggunakan media sosial boleh mengundang risiko bahaya kepada pihak terbabit.

“Jangan sewenang-wenang membuat perkara viral (tular) kerana ia boleh membahayakan keselamatan diri dan keluarga. Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan kenyataan berbaur tuduhan di media sosial, sebaliknya buat laporan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan,” beliau dipetik sebagai berkata.

Manakala pada hemat penulis pula, sekiranya kita berada dalam suatu situasi yang mencemaskan yang melibatkan jenayah, kita boleh gunakan telefon pintar yang mempunyai fungsi rakaman audio dan kamera untuk merekodkan kejadian jenayah itu agar boleh dijadikan bukti untuk diserahkan kepada pihak berkuasa.

Mana mungkin kita hendak membiarkan penjenayah dan kumpulan sindiket terus ‘bergembira’ menjarah hasil keuntungan dari kegiatan haram mereka. Cumanya, kita perlu berhati-hati agar tidak menjejaskan keselamatan diri sendiri dan sudah tentunya anggota keluarga kita. sedangkan

Mengenai isu menerima dan memberi rasuah, ianya isu lapuk yang tidak pernah berkesudahan apabila dibincangkan, malahan dilihat juga sebagai isu yang tiada jalan penyelesaiannya.

Bacalah di mana-mana surat khabar atau portal berita, isu rasuah melibatkan pelbagai pihak adalah antara berita utama yang sering menjadi tajuk berita dan perbualan hangat.

Tidak kira di peringkat orang awam hinggalah kepad apegawai tertinggi kerajaan, isu pengamalan rasuah ini sudah dianggap sebagai suatu yang normal dan si pelaku tidak pula berasa serba salah.

Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia (MACFE), Datuk Seri Akhbar Satar mendedahkan, isu rasuah sukar dibanteras kerana masih ramai yang salah anggap pihak SPRM hanya akan mengambil tindakan terhadap penerima rasuah, dan bukannya kepada pemberi rasuah.

Walhal jika mengikut peruntukan Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009, kesalahan pemberi rasuah sama sahaja beratnya dengan yang menerima rasuah, dan jika disabitkan, pemberi rasuah turut bakal berhadapan hukuman berat termasuk dipenjara dan didenda.

“Jika sabit kesalahan, pemberi rasuah boleh dihukum sama berat dengan kesalahan Seksyen 17(a) (iaitu menerima rasuah) dengan penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali nilai suapan jika suapan dapat dinilai atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.

“Namun, ada sesetengah masyarakat seolah-olah melupakan pihak yang memberi rasuah juga sama jijiknya di sisi undang-undang dan moral, bak kata pepatah, ‘bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi’. Jika tiada pemberi, tiadalah penerimanya,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Akhbar turut menegaskan bahawa masyarakat hendaklah terus menyalurkan maklumat kepada SPRM dan agensi penguatkuasa sekiranya mereka mendapati ada berlaku kegiatan pemberian rasuah di sekeliling mereka.

“Siapa sahaja yang tahu ada berlaku rasuah namun tidak melaporkannya kepada SPRM boleh juga dikenakan tindakan dan didakwa di bawah Seksyen 25,” jelas beliau lagi.

Menurut Akbar, antara punca berlakunya gejala rasuah ialah sanggup membelakangkan ajaran agama, menghadapi krisis keimanan dan taqwa, tamak memuaskan hawa nafsu dan ingin merasa hidup mewah.

Beliau turut berkongsi pandangan seorang tokoh Islam terdahulu, Ibnu Khaldun yang mengaitkan rasuah dengan persoalan moral dan keinginan untuk mengecap kemewahan hidup secara berlebihan, mendorong mereka yang mempunyai kuasa untuk terjebak dalam amalan rasuah.

Bagi mereka yang beragama Islam, seharusnyalah mengetahui dan insaf bahawa hukum memberi dan menerima rasuah adalah haram dan berdosa besar di sisi agama.

Merujuk kepada penjelasan di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Allah secara jelas berfirman,”Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)”. (Surah Al-Baqarah:188)

Nabi Muhammad pun turut pernah bersabda mengenai betapa jijiknya perbuatan rasuah menerusi sebuah hadith riwayat Abdullah ‘Amr: “Nabi Muhammad melaknat pemberi dan penerima rasuah,” (hadith riwayat Abu Daud, Al-Tarmizi dan Ibn Majah).

Laman web itu turut menyatakan kesan buruk akibat aktiviti penyelewengan harta dan rasuah, antaranya ia akan menghancurkan keadilan sesebuah negara, melahirkan masyarakat yang tiada kemahiran dan skil, muncul masyarakat yang mementingkan diri sendiri, menghasilkan hasil kerja yang teruk, serta akan menjadikan kos pengurusan meningkat.

Oleh yang demikian, menjadi satu kewajiban buat seluruh umat Islam di negara ini untuk membantu kerajaan memerangi gejala rasuah sehingga ke peringkat akar umbi dalam usaha mewujudkan sebuah negara maju dan bebas rasuah.

Ini selaras dengan tuntutan agama untuk mewujudkan ‘Baldatul Toyyibatun Wa Rabbun Ghaffur’ iaitu negara yang terbaik dan Tuhan itu Maha Pengampun (sekiranya kita mensyukuri nikmatNya).

(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis) – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas