Berita

Fatima mahu beli tanah buat keluarga

FATIMA memperoleh keputusan cemerlang, 8A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.
- Diterbit 5 Julai 2021 10:48 AM MYT

KESUSAHAN keluarga memberi semangat buat Fatima Nurulhidayati Mohd Hashim, 18 untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan yang ­juga ­penerima Skim Biasiswa Anak Angkat Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) ini berjaya mendapat 8A+ dalam lapan mata ­pelajaran yang diambil.

Menurut anak ketiga ­daripada lima orang adik-beradik ini, ­kejayaannya memberi erti kepada keluarga memandangkan dia berhasrat untuk membawa ­keluarganya keluar daripada ­belenggu kemiskinan.

“Ayah saya merupakan seorang guru KAFA dengan gaji RM1,400 sebulan, bayangkan dengan pendapatan yang tidak seberapa itulah dia membesarkan kami selama ini. Sementara ibu pula tidak bekerja, jadi semuanya bergantung pada ayah.

“Sedih melihat ayah bekerja pagi petang untuk mencari rezeki namun masih tidak mencukupi. Apakan daya itu sahaja sumber pendapatan kami selama ini,” ujarnya kepada Wilayahku.

Ceritanya lagi, keluarga mereka menyewa pangsapuri di sekitar Kampung Sungai Bedaun, Labuan yang agak jauh dari kawasan bandar dengan kadar sewa RM180 sebulan.

“Ibu sentiasa berpesan agar saya belajar rajin-rajin supaya dapat membantu keluarga membeli tanah suatu hari nanti. Dengan adanya tanah kami dapat bina rumah dan tidak menyewa lagi.

“Pesanan itulah yang sentiasa saya ingat dan menjadi pembakar semangat untuk saya berusaha keras. Saya mahu menjadikan angan-angan ibu sebagai kenyataan suatu hari nanti,” ujarnya sayu.

Tidak lupa berterima kasih ­kepada YWP di atas bantuan ­biasiswa selama ini, menurutnya wang tersebut digunakan sebaiknya untuk perbelanjaan persekolahan selama ini.

“Kalau tiada bantuan tersebut mungkin saya tidak mampu untuk membeli barangan keperluan sekolah dan duit belanja. Bantuan tersebut amat bermakna buat kami yang amat memerlukan,” ujarnya yang kini menyambung pelajaran peringkat Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS, Taman Batu Muda, Kuala Lumpur.

Sempat berkongsi kejayaan cemerlangnya bergelar pelajar terbaik di sekolah, Fatima berkata jadual belajar di rumah merupakan antara tips penting untuk berjaya.

“Saya akan tentukan topik tertentu setiap kali mengulangkaji pelajaran yang biasanya dimulai dengan topik yang mudah terlebih dahulu selain mengikuti tips bagaimana memperoleh ­markah peperiksaan yang boleh didapati di laman YouTube,” katanya.

Pelajar cemerlang ini berjaya mendapat 8A+ dalam subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Pendidikan Islam, Sains, Prinsip Perakaunan dan Ekonomi. ­- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas