Berita

Video tular: Peniaga telah ditawar lot niaga

SEBUAH video tular di laman sosial dirakam oleh sekumpulan penjaja sehingga menimbulkan fitnah terhadap DBKL.
- Diterbit 5 Julai 2021 10:41 AM MYT

TINDAKAN penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh sekumpulan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di kawasan sekitar Kompleks Pasar Harian Selayang Kuala Lumpur (PHSKL) bertujuan mengekang aktiviti penjaja tanpa lesen namun tindakan tersebut dirakam sekumpulan penjaja dan menularkannya di laman sosial sehingga menimbulkan fitnah terhadap DBKL.

Unit Medianya dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa notis pemakluman awal kepada penjaja tersebut supaya mengosongkan tapak telah diberikan oleh DBKL pada 27 Mei 2021 lalu.

“Menerusi notis itu, penjaja tersebut diminta mengosongkan tapak dalam tempoh 14 hari. Tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh DBKL pada 24 Jun 2021 adalah untuk mengekang aktiviti penjaja tanpa lesen ini daripada terus berkembang tanpa kawalan.

“Tindakan tersebut bertujuan untuk memastikan tiada aktiviti perniagaan pasar terbuka berjalan dalam tempoh PKP,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut DBKL, siasatan di tapak juga mendapati aktiviti perniagaan dijalankan oleh warga asing.

“Peniaga tersebut sebelum ini pernah dikenakan tindakan penguatkuasaan lebih daripada tiga kali di bawah UUK 3 – Undang-Undang Kecil Pelesenan PenjajaWPKL 2016 kerana berniaga tanpa lesen dan pada kali terakhir adalah pada 27 Mei 2021.

“Tindakan sita juga pernah dikenakan terhadap beliau kerana menggunakan pekerja warga asing dan semakan oleh DBKL pada hari operasi dilaksanakan mendapati penjaja yang ­terbabit ­dalam video tersebut adalah ­merupakan penjaja yang telahpun ­ditawarkan lot di dalam PHSKL,” katanya.

Menjelas lanjut, DBKL berkata, alasan yang diberikan dalam video yang tular adalah tidak tepat kerana peniaga tersebut telah ditawarkan lot oleh untuk berniaga di dalam PHSKL.

“Tawaran itu ­dibuat ­melalui surat yang bertarikh 27 Mei 2021 dan sehingga kini, beliau belum mengemukakan borang maklumbalas permohonan beserta dokumen seperti yang dipohon oleh pihak DBKL,” katanya.

Dalam pada itu, DBKL turut memaklumkan bahawa tiada tindakan penguatkuasaan dilaksanakan pada hari tersebut kerana peniaga itu telah dengan sukarela membuka sendiri khemah-khemah perniagaan miliknya.

Tapak tersebut juga telah dikosongkan serta dalam kawalan serta pemantauan pihak DBKL. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas