Berita

Fasa kedua BPN 2.0 : Bayaran mulai 21 Januari kepada 11.06 juta penerima

- Diterbit 13 Januari 2021 7:13 AM MYT

PEMBAYARAN fasa kedua Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) kepada 11.06 juta penerima akan dilaksanakan bermula 21 Januari ini.

Ia merangkumi 10.6 juta penerima BPN sedia ada serta 460,000 penerima baharu dengan jumlah bayaran keseluruhan RM2.38 bilion.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata, bayaran tersebut dipercepatkan kerana pelaksanaan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB).

Ujar beliau, kerajaan komited dalam memastikan bantuan yang diperuntukkan sampai kepada golongan sasar sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat.

“Bagi penerima kategori B40, bayaran akan dikreditkan ke dalam akaun bank bermula 21 Januari ini, manakala M40 pula bermula 25 Januari 2021.

“Penerima yang tidak mempunyai akaun bank, pembayaran akan dibuat mulai 25 Januari 2021 di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).

“Untuk rakyat di Sabah dan Sarawak tanpa akaun bank pula, pembayaran akan bermula awal Februari sehingga 1 April 2021 di lokasi yang bakal diumumkan akhir bulan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tengku Zafrul berkata, BPN 2.0 adalah sebahagian daripada Kerangka Inisiatif Tambahan, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (KITA Prihatin) bernilai RM10 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 23 September tahun lalu.

“Secara keseluruhannya, jumlah penerima BPN 2.0 merangkumi 11.06 juta penerima terdairi daripada 5.82 juta individu bujang dan 5.24 juta penerima isi rumah dengan jumlah bayaran serta peruntukan keseluruhan sebanyak RM7.18 bilion,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas