Berita

Fail ceroboh tanah sentiasa hidup

JUNAINAH
JUNAINAH
- Diterbit 23 Ogos 2019 6:07 AM MYT

‘DIBELENGGU’ fail kes hidup. PEJABAT Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPTG WPKL) tidak pernah lekang daripada aduan berhubung pencerobohan tanah milik kerajaan. Malah kata-kata ‘selagi tiada pembangunan, akan ada pencerobohan’ begitu sinonim dengan situasi yang dihadapi mereka.

Pegawai Kanan Penempatan PPTG WPKL, Junainah Ramly berkata, susulan daripada itu, dia menggariskan kaedah baru iaitu ‘satu kes, satu fail’. Kaedah tersebut diadaptasi daripada pengalaman kerjanya sebelum ini.

Ikuti temubual wartawan Wilayahku, NAZWIN NAZRI bersama Junainah berhubung perancangan dan pelaksanaan kaedah berkenaan di PPTG WPKL.


Apakah yang dimaksudkan dengan tanah kerajaan?

JUNAINAH: PPTG hanya mengawal tanah-tanah berstatus tanah Kerajaan. Di bawah Seksyen 5 Kanun Tanah Negara (KTN), tanah Kerajaan bererti semua tanah di dalam negeri itu (termasuk sebanyak mana dasar mana-mana sungai, dan tepi pantai serta dasar laut seperti yang adalah dalam lingkungan wilayah negeri itu atau batas perairan wilayah) selain dari tanah bermilik, tanah rizab, tanah lombong dan mana-mana tanah yang di bawah peruntukan-peruntukan mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan hutan (sama ada diluluskan sebelum atau selepas permulaan Akta ini) buat masa itu adalah hutan simpanan.

Namun, di bawah Seksyen 425 KTN, tanah kerajaan hendaklah termasuk semua tanah yang dipegang oleh atau bagi pihak kerajaan Persekutuan atau negeri, suatu pihak berkuasa tempatan atau suatu pihak berkuasa kanun yang menjalankan kuasa yang terletak hak kepadanya oleh undang-undang Persekutuan atau negeri.

Adakah PPTG WPKL mempunyai senarai tanah kerajaan di ibu negara?

JUNAINAH: Kita tidak ada maklumat berkenaan sebab itu apabila menerima aduan, kita akan pergi siasat. Langkah yang kita lakukan adalah selepas dapat aduan, kita siasat sama ada tanah itu milik kerajaan dan sekiranya ya, jenis struktur binaan pula dilihat. Kemudian, kita buat laporan dan seterusnya operasi atau tindakan undang-undang.

Tempoh masa yang diambil untuk selesaikan kes selepas aduan diterima?

JUNAINAH: Bergantung kepada keutamaan kes. Di PPTG, operasi penguatkuasaan dilakukan dua kali seminggu. Selepas operasi dirancang, PPTG WPKL akan menghantar surat berkaitan kepada agensi-agensi terlibat termasuk Ahli Parlimen dan Menteri.

Bagi kes-kes yang tidak sensitif, tindakan penguatkuasaan dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan setelah mengambil kira proses kerja yang terdapat di dalam Prosedur Operasi Standard (SOP).

Berapa banyak fail kes yang dibuka untuk tempoh lima tahun?

JUNAINAH: Sebanyak 481 fail berhubung pencerobohan tanah milik kerajaan negeri dan Persekutuan direkodkan bagi tempoh lima tahun bermula 2015.

Daripada jumlah itu, 86 fail yang dibuka adalah dari Januari hingga Julai tahun ini dengan kebanyakan kes adalah pendudukan secara tidak sah melibatkan rumah-rumah ibadat termasuk kilang, bengkel, restoran, kedai makan dan sebagainya.

Mengikut pecahan, sebanyak 77 fail direkodkan pada 2018; 113 fail (2017 dan 2016) serta 92 fail pada 2015.

Kita juga berhadapan dengan beberapa kekangan ketika mengendalikan kes berkaitan rumah ibadat dan tidak kurang cemuhan serta spekulasi daripada warganet yang suka menokok tambah cerita tanpa mengetahui hal sebenar. Sedangkan tindakan yang diambil adalah bertepatan dengan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) yang mana penceroboh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun sekiranya disabitkan kesalahan.

Proses yang dilakukan juga mengikut lunas undang-undang iaitu siasatan tapak dilakukan terlebih dahulu selepas aduan diterima disusuli laporan tanah serta surat pemberitahuan pengosongan tapak.

Sebagai contoh, di kawasan setinggan, kita membantu penghuninya mendapatkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan roboh walaupun mengikut akta, mereka tidak layak menerima sebarang pampasan atau gantian daripada kerajaan.

Akan melaksanakan sistem baharu iaitu setiap kes, satu fail. Apa signifikannya langkah tersebut?

JUNAINAH: Tindakan itu membolehkan kita tahu berapa banyak fail dibuka dan berapa banyak yang dah diselesaikan. Maklumat lanjut juga dapat diperincikan mengikut bulan dan seterusnya mengikut tahun. Langkah ini adalah untuk menentukan petunjuk prestasi utama (KPI).

Pada masa sama, dapat memastikan setiap aduan yang dibuat mengikut prosedur yang sebenarnya di samping perjalanan proses pengurusannya.

Adakah langkah tersebut diperkenalkan khusus untuk PPTG WPKL atau ia sudah sedia ada?

JUNAINAH: Langkah ini telah sedia ada. Di tempat saya bertugas sebelum ini memang mengamalkan cara tersebut, oleh itu saya praktikkan cara kerja ini di PPTG pula selepas mengambil alih jawatan ini tujuh bulan lalu.

Sebagai ketua, semestinya saya inginkan penanda aras sendiri. Ia juga merupakan inisiatif sendiri untuk mengawal fail-fail kes. Langkah ini juga membolehkan saya membahagikan tugasan kepada pegawai-pegawai lain untuk dikendalikan secara adil dan saksama.

Terdapat tujuh orang kakitangan yang membantu mengurus dan menyelesaikan kes, jadi selepas saya mendapat fail, saya akan minitkan kepada mereka secara rata. Setiap orang akan ada giliran masing-masing, tidak ada yang dapat kerja lebih atau kurang.

Bila ia dilaksanakan, bilangan fail akan bertambah dan akan menyebabkan PPTG WPKL seolah-olah tidak melakukan kerja berikutan terdapat lambakan. Jadi bagaimana tanganinya?

JUNAINAH: Pada masa ini, jumlah fail kelihatan sedikit, tetapi hakikatnya sebelum ini, kerja kakitangan PPTG WPKL memang banyak dan lambakan pelbagai aduan yang diterima berhubung isu pencerobohan tanah milik kerajaan.

Itu antara cabaran kami, tambahan pula perlu berhadapan dengan tohmahan orang awam yang tidak memahami prosedur untuk menyelesaikan kes ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas