Berita

Tarikan kari kepala ikan di Line Clear

LINE Clear Restaurant yang terletak di Jalan Perak P15, Presint Diplomatik, Putrajaya.
LINE Clear Restaurant yang terletak di Jalan Perak P15, Presint Diplomatik, 62050 Putrajaya.
- Diterbit 23 Ogos 2019 5:38 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

ADA setengah orang sanggup memandu dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang semata-mata untuk menikmati keenakan nasi kandar yang disajikan di Restoran Line Clear di Jalan Penang.

Restoran yang memulakan operasi pada tahun 1949 itu menjadi ikon warisan makanan di Pulau Pinang.

Namun kini, peminat-peminat nasi kandar berpeluang untuk merasai keenakan kari kepala ikan seafood di Line Clear Restaurant yang terletak di Putrajaya.

Merupakan salah satu daripada cawangan nasi kandar popular di Pulau Pinang, restoran yang mula beroperasi di Putrajaya sejak tujuh bulan yang lalu ini menerima sambutan yang sangat menggalakkan.

Menurut salah seorang rakan kongsi Line Clear (LC) Restaurant, Putrajaya, Mohd Efendi Omar, 36, menu kari kepala ikan seafood yang disediakan merupakan hidangan utama yang paling diminati.

Malah keenakannya saling tidak tumpah seperti yang terdapat di Pulau Pinang.

“Kelazatan hidangan kari di sini berbeza dari tempat lain kerana hidangan tersebut dikombinasikan dengan makanan laut seperti sotong, udang, telur ikan dan sebagainya bagi menghasilkan satu rasa yang hebat.

“Itu tarikan utama kami di sini. Selain rempah ratus dan bahan-bahan penyediaannya didatangkan khas dari Pulau Pinang, kebiasaannya kami menggunakan ikan biji nangka yang hanya boleh didapati daripada negeri di sebelah utara,” ujarnya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Katanya lagi, kari yang dimasak di restorannya dijamin sentiasa berada dalam keadaan yang segar kerana ia di masak dalam kuantiti sedikit bagi menjamin kualiti. Hal itu turut menjadikan Line Clear Restaurant, Putrajaya tumpuan utama.

“Untuk hidangan pagi, tengah hari dan malam, kari yang disediakan sentiasa diganti dengan yang baharu. Kami mengutamakan pelanggan supaya mereka dapat merasai hidangan yang masih panas sahaja,” ujarnya.

Tambahnya lagi, bermula pukul empat petang, pelanggan boleh memesan menu istimewa iaitu mee goreng sotong. Mereka yang biasa ke Pulau Pinang pasti mengenali keenakan mee tersebut yang berbeza dengan mee goreng sedia ada.

“Pelanggan yang terdiri daripada kanak-kanak pula amat menggemari roti tisu yang didatangkan khas berserta campuran air gula yang lazat,” ujarnya yang mengakui ayam goreng yang terdapat di restorannya itu turut digoreng mengikut permintaan bagi memelihara
rasanya.

Jelas anak kelahiran Melaka ini lagi, bagi meraikan pelanggan kesayangan, mereka menetapkan harga serendah RM5 pada setiap hari Jumaat bagi menu nasi kandar yang terdiri daripada kuah campur, ayam goreng dan air sirap.

“Selain meraikan pelanggan, ia adalah salah satu cara untuk bersedekah pada hari Jumaat yang mulia. Dalam masa yang sama, kami juga sentiasa memastikan harga makanan adalah berpatutan untuk segenap lapisan masyarakat,” ujarnya.

Tidak terfikir untuk menukar operasi kepada 24 jam, menurutnya lagi, dia dan rakan kongsi yang lain sebolehnya mahu mendidik masyarakat agar menjauhi budaya melepak di restoran pada tengah malam.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas