Berita

EU mungkin sekat eksport vaksin Pfizer ke UK

- Diterbit 29 Januari 2021 5:50 AM MYT

KESATUAN Eropah (EU) mungkin menyekat eksport vaksin COVID-19 yang dibangunkan Pfizer ke United Kingdom (UK) untuk memastikan bekalan vaksin mencukupi untuk negara anggota, lapor Agensi Berita Sputnik.

EU sedang mengkaji untuk melaksanakan “langkah-langkah segera bagi memastikan pengeluaran dan bekalan vaksin yang efektif kepada penduduk (EU),” lapor media Independent pada Khamis, memetik surat Presiden Majlis Eropah Charles Michel.

Perang vaksin” telah tercetus dengan keputusan syarikat AstraZeneca untuk menjamin bekalan ke UK dengan menunda penghantaran ke EU kerana masalah pengeluaran. London telah memesan 40 juta dos vaksin Pfizer, penghantarannya kini menjadi ancaman.

“Ini boleh menyebabkan EU dan negara-negara anggotanya mengambil langkah undang-undang, dengan menerima pakai langkah-langkah segera yang sesuai, untuk memastikan pengeluaran dan bekalan vaksin yang efektif kepada penduduk kita,” kata Michel dalam surat itu yang mengulas kemungkinan mengenakan larangan eksport.

Pegawai EU itu dilaporkan berkata telah mengusulkan cadangan ini kepada Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen.

Media lain, Politico, pada Khamis melaporkan EU pada Jumaat telah memutuskan untuk memperkenalkan satu mekanisme yang membolehkan negara-negara anggota menyekat eksport vaksin di seluruh dunia

Rancangan itu dilaporkan membayangkan EU akan memberikan kebenaran khas untuk membolehkan eksport vaksin. Blok tersebut akan memberi kebenaran hanya setelah memastikan pengeluar telah menghantar tempahan dos vaksin kepada negara-negara anggota sepertimana termaktub dalam perjanjian dibuat sebelum ini.

Negara-negara miskin dan mekanisme antarabangsa COVAX akan dikecualikan daripada syarat kebenaran itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas