Empat termasuk penjawat awam direman berhubung isu tender RM42 juta
MENURUT sumber, kesemua lelaki yang berusia antara 32 dan 61 tahun itu, ditahan di Ibu Pejabat SPRM di sini kira-kira pukul 10 malam semalam. Kredit foto: Bernama

Empat termasuk penjawat awam direman berhubung isu tender RM42 juta

EMPAT individu termasuk seorang penjawat awam di sebuah kementerian, direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung isu tender pembekalan bagi sebuah agensi penguatkuasa yang bernilai RM42 juta.

Perintah reman sehingga 21 Jun itu dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di sini selepas mendengar permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, kesemua lelaki yang berusia antara 32 dan 61 tahun itu, ditahan di Ibu Pejabat SPRM di sini kira-kira pukul 10 malam semalam.

“Mereka dipercayai meminta dan membayar rasuah sebanyak lima peratus dari nilai projek berdasarkan tuntutan kemajuan, bagi memperoleh tender perkhidmatan membekal, memproses, mencetak dan mengepos saman sebuah agensi penguat kuasa, yang bernilai RM42 juta,” menurut sumber berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Dalam kes berasingan di mahkamah sama, seorang ahli perniagaan direman selama lima hari bermula hari ini kerana dipercayai terlibat dalam pengubahan wang haram.

Menurut sumber, lelaki berkenaan dipercayai memperolehi wang menerusi penjualan kereta Ferrari bernilai hampir RM1 juta bukan miliknya, bagi membeli sebuah kereta Lamborghini bernilai RM1.8 juta untuk dirinya.

Lelaki berusia 43 tahun itu yang ditahan kira-kira 5.20 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001. — BERNAMA

CATEGORIES